Auto Added by WPeMatico

KUALA LUMPUR – Skuad boling remaja negara mencipta sejarah apabila dinobatkan sebagai juara keseluruhan Kejohanan Tenpin Boling Remaja Asia Bawah 18 Tahun (B-18) di Doha, Qatar selepas mengungguli pungutan dengan pingat lima emas dan lima gangsa.
Malaysia turut menjuarai kategori keseluruhan wanita selepas pemain negara menyapu bersih keempat-empat emas dipertandingkan, termasuk menerusi persembahan luar biasa Qurratu’ain Izdihar Mohd. Pozi.
“Qurratu’ain benar-benar menyinar. Dia memenangi 4 emas dalam 4 acara dan menunjukkan konsistensi luar biasa. Ini prestasi yang sangat membanggakan,” kata Setiausaha Agung Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC), Maradona Chok kepada Kosmo!.
Pemain muda itu menjuarai acara individu, beregu, berpasukan dan all-events wanita, menjadikannya paling cemerlang dalam kejohanan kali ini.
Malaysia turut mencipta sejarah apabila buat kali pertama meraih gelaran juara berpasukan lelaki dan wanita dalam edisi sama sekali gus mengesahkan kedudukan sebagai kuasa baharu boling remaja Asia.
“Kejohanan ini benar-benar memberi hasil yang hebat untuk Malaysia. Pasukan ini sangat muda, ramai buat penampilan sulung di pentas besar, tetapi mereka menunjukkan semangat tinggi meskipun berdepan tekanan,” kata Maradona.
Dengan dua acara akhir iaitu blok kedua master lelaki dan wanita berlangsung hari ini, Malaysia berpeluang menambah satu lagi kejuaraan dalam kategori lelaki jika berjaya memenangi pingat emas.
“Kami sudah sah sebagai juara keseluruhan dan kategori wanita. Untuk kategori lelaki, kami masih berpeluang menang jika raih ema acara master, jadi kami akan terus berjuang,” katanya.
Dalam masa sama, Maradona turut memuji pembangunan menyeluruh boling negara apabila skuad kali ini dibarisi pemain dari 10 negeri berbeza, menandakan bakat tidak hanya tertumpu kepada negeri tertentu sahaja.
“Inilah kekuatan sebenar, kita tidak bergantung kepada satu atau dua negeri, tetapi kita ada atlet berkualiti dari seluruh negara. Ini petanda baik untuk masa depan boling Malaysia,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post Malaysia rangkul juara keseluruhan appeared first on Kosmo Digital.