Auto Added by WPeMatico

JOHOR BAHRU – Seorang pengurus sumber manusia warga Singapura didenda RM9,100 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana merosakkan kenderaan dan meludah muka seorang lelaki dalam satu kejadian di Taman Sutera Utama, Skudai di sini pada Ahad lalu.
Tertuduh, Cheng Kuan Poh Colin, 40, dijatuhkan hukuman itu selepas dia mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa mandarin dihadapan Majistret, A. Shaarmini.
Jika gagal bayar, tertuduh turut diperintahkan menjalani hukuman penjara selama 12 bulan.
Berdasarkan pertuduhan pertama, dia didakwa dengan niat telah menyebabkan kerugian dan kebinasaan harta iaitu merosakkan kereta milik mangsa, Ng Yeow Meng, 32.
Manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh yang masih bujang itu telah mengaibkan kehormatan mangsa dengan meludah ke mukanya dengan maksud supaya mengganggu kesantunan mangsa.
Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di Jalan Sutera Tanjung 8/4, Taman Sutera Utama, Skudai di sini pada pukul 2.39 petang, 7 Jun lalu.
Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam, Norfarahin Mohd. Yazid memberitahu mahkamah tertuduh merupakan pesalah kali pertama dan tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lampau.
“Dia bekerja sebagai seorang pengurus sumber manusia dengan pendapatan bulanan sebanyak 2,000 dolar Singapura. Dia turut menanggung dua ibu bapa yang telah uzur,” ujarnya.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh dilaporkan berkata lelaki itu ditahan kerana telah menendang sebuah kereta jenis BMW.
Menurutnya, kejadian berlaku disebabkan pertengkaran mulut antara tertuduh dan mangsa yang kemudian membuat laporan polis berhubung perkara itu.-KOSMO! ONLINE
The post Lelaki Singapura didenda RM9,100 tendang BMW, ludah muka appeared first on Kosmo Digital.