Auto Added by WPeMatico

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki disyaki dalang geng pecah rumah dan samun selain terlibat dalam sindiket pengedaran dadah maut ditembak dalam Op Api KL 3/2025 di Jalan Bukit Tunku, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.10 pagi, suspek yang memandu kereta jenis BMW berjaya dipintas polis sebelum berlaku aksi berbalas tembakan yang menyebabkan dia maut di lokasi.
Difahamkan, suspek berada di kawasan tersebut bagi mencari sasaran baharu untuk melakukan kegiatan samun.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus berkata, suspek lelaki warga tempatan berusia 36 tahun itu dipercayai aktif dalam kegiatan samun dan sindiket pengedaran dadah sejak tahun lalu.
“Suspek yang ditembak mati dipercayai ketua atau dalang utama kumpulan yang aktif dalam kegiatan pecah rumah dan dadah di Kuala Lumpur, Perak dan Selangor.
“Turut dirampas bersama suspek iaitu sepucuk pistol jenis revolver yang dipercayai digunakan dalam kejadian berbalas tembakan ini,” katanya ketika ditemui di lokasi, di sini, hari ini.
Beliau berkata, semakan mendapati suspek mempunyai 44 rekod jenayah lampau membabitkan kes pecah rumah, jenayah kekerasan dan dadah.
Wartawan Kosmo! yang berada di lokasi kejadian mendapati terdapat beberapa kesan tembakan pada kenderaan polis.
Berita lanjut menyusul. – KOSMO! ONLINE
The post Dalang geng samun, edar dadah maut ditembak polis appeared first on Kosmo Digital.