Auto Added by WPeMatico

LONDON – Sebuah pesawat British Airways yang dalam penerbangan ke India terpaksa berpatah balik ke London selepas mengalami kerosakan pada sayap, lapor portal berita MailOnline semalam.
Pesawat jenis Boeing 787-8 Dreamliner itu dilencongkan apabila juruterbang mengesan masalah teknikal, kurang sejam dalam penerbangan ke Lapangan Terbang Chennai dari Lapangan Terbang Heathrow.
Data dari laman penjejakan penerbangan, Flightradar24 menunjukkan penerbangan BA35 itu berlegar-legar di atas selat Dover selama sejam untuk membuang bahan api sebelum mendarat pada pukul 1.50 tengah hari (waktu tempatan).
Jurucakap British Airways berkata, pesawat itu berpatah balik ke Lapangan Terbang Heathrow sebagai langkah berjaga-jaga.
“Ia mendarat dengan selamat, manakala kru penerbangan dan penumpang diturunkan seperti biasa. Pasukan kami bekerja keras untuk menyambung semula perjalanan mereka secepat mungkin,” katanya.
Kejadian itu berlaku beberapa jam selepas sebuah pesawat Air India 787-8 Dreamliner yang dalam penerbangan ke New Delhi, terpaksa berpatah balik ke Hong Kong akibat masalah teknikal.
Situasi itu sekali gus menimbulkan tanda tanya mengenai keselamatan Boeing berikutan nahas pesawat Air India yang terhempas di bandar Ahmedabad sehingga mengorbankan 241 penumpang. – AGENSI
The post Pesawat British Airways ke India alami masalah teknikal appeared first on Kosmo Digital.