Auto Added by WPeMatico

![]()
KLANG – Keluarga mendiang Gali Vijaya Lakshmi yang maut dalam insiden tanah jerlus di Masjid India pada dua tahun lalu, menggesa kerajaan mempercepatkan proses pampasan bagi membela nasib waris yang kini berdepan tekanan kewangan.
Dalam kejadian 23 Ogos 2024 itu, wanita berusia 48 tahun berasal dari Kuppam, Andhra Pradesh, India itu hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter dengan operasi mencari dan menyelamatkan ditamatkan sembilan hari kemudian.
Peguam Muhamad Saifullah Muhamad Azmi mewakili waris mendiang berkata, status mangsa ketika ini masih diklasifikasikan sebagai orang hilang (OH) menyebabkan sijil kematian belum dapat dikeluarkan.
Katanya, permohonan rasmi telah dihantar kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pada 24 Februari lalu bagi membolehkan sijil kematian dikeluarkan.
“Hanya dengan sijil kematian, tuntutan pampasan boleh diuruskan untuk tindakan lanjut. Selagi status kekal sebagai orang hilang, sebarang pampasan tidak boleh diperoleh,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Tambahnya, setakat ini tiada tindakan mahkamah difailkan kerana pihaknya mahu memberi ruang kepada rundingan dengan kementerian serta agensi berkaitan terlebih dahulu.
“Kita difahamkan ada perbincangan di peringkat Kabinet sebelum ini mengenai pampasan, namun belum ada keputusan rasmi atau jumlah yang ditetapkan. Kalau rundingan itu gagal atau tiada penyelesaian munasabah dicapai, tindakan undang-undang akan menjadi pilihan terakhir,” ujarnya.
Sementara itu, seorang lagi peguam waris, M. Partiben berkata, anak tunggal mangsa terpaksa menanggung komitmen hutang institusi perbankan bernilai RM30,000 yang menuntut pengesahan rasmi kematian bagi tujuan pelunasan atau pembatalan pinjaman.
“Selain itu, pinjaman along sehingga RM40, 000 yang juga dibuat mendiang. Tidak diketahui berapa faedah ditetapkan di India. Memang waris sebelum ini telah memperoleh sumbangan ihsan sebanyak RM30,000. Namun kita perlu bezakan antara sumbangan dan pampasan.
“Sumbangan adalah bantuan segera atas dasar kemanusiaan, manakala pampasan melibatkan tanggungjawab undang-undang termasuk kemungkinan kecuaian atau faktor kerosakan geografi,” katanya.
Dalam pada itu, anak tunggal mangsa, Surya Madhaiha, 27, berkata, ini adalah kali ketujuh datang ke negara ini dengan menelan kos lebih RM50,000 bagi urusan pampasan tersebut sejak 2024.
“Saya merayu sangat supaya pihak berkuasa di negara ini mempercepatkan proses sijil kematian ibu untuk permudahkan urusan pampasan dan hutang di India.
“Amat berharap isu ini menarik perhatian Perdana Menteri dan kementerian berkaitan supaya ada tindakan segera,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE
The post Tanah jerlus Masjid India: Waris rayu sijil mati, pampasan dipercepat appeared first on Kosmo Digital.
