Auto Added by WPeMatico

![]()
SEREMBAN – Tindakan berani beberapa pendatang asing tanpa izin (PATI) memanjat balkoni dari satu rumah ke rumah lain di tingkat lima bagi mengelak ditahan akhirnya gagal apabila berjaya diberkas dalam Ops Sapu di Pangsapuri Cempaka Court, Bandar Baru Nilai, malam tadi.
Operasi bermula pada pukul 11 malam itu telah memeriksa seramai 299 warga asing dan menahan 23 PATI berusia 22 hingga 51 tahun atas pelbagai kesalahan imigresen.
Pengarah Imigresen Negeri Sembilan, Kennith Tan Ai Kiang berkata, semasa operasi, beberapa PATI nekad bersembunyi di bawah atap genting dan atas tangki air dan ada antaranya mempertaruhkan nyawa melangkah dari rumah ke rumah melalui balkoni tingkat lima untuk meloloskan diri.
“Namun hasil kepantasan pasukan operasi, semua mereka berjaya dikesan dan ditahan tanpa sebarang kejadian tidak diingini,” katanya yang memaklumkan operasi hasil aduan awam.
Menurut beliau, 23 PATI ditahan terdiri daripada 21 lelaki dan dua wanita, membabitkan 12 warga Bangladesh, sembilan warga India (tujuh lelaki dan dua wanita), seorang warga Indonesia dan seorang warga Pakistan.
“Antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada pas dan dokumen perjalanan sah, tinggal lebih masa, serta pelanggaran lain di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Sanggup duduk atas tangki air, lompat balkoni tingkat lima’ appeared first on Kosmo Digital.