Auto Added by WPeMatico

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan pensyarah Dr. Kamarul Zaman Yusoff untuk menangguhkan bayaran ganti rugi RM400,000 kepada Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh berhubung dua hantaran fitnah dalam laman sosial Facebook lapan tahun lalu.
Peguam Mohd. Khairul Azam yang mewakili Kamarul Zaman berkata, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Avinder Singh Gill Ranjit Singh memutuskan demikian selepas meneliti hujahan yang dikemukakan kedua-dua belah pihak.
“Pihak-pihak telah mengemukakan hujahan sama ada terdapat atau tidak special circumstances (keadaan istimewa) untuk perintah menggantung (bayaran ganti rugi).
“Selepas mendengar hujahan daripada kedua-dua belah pihak dan membuat penilaian maksimum mendapati tidak wujud keadaan istimewa melayakkan penggantungan diberikan,” kata peguam itu ketika ditemui selepas prosiding pendengaran dalam kamar hari ini.
Menurut peguam itu lagi, dengan keputusan itu, perintah penghakiman Mahkamah Tinggi sebelum ini yang memerintahkan anak guamnya membayaran ganti rugi itu akan terus berkuatkuasa.
Sementara peguam Sangeet Kaur Deo yang mewakili Hannah ketika ditemui mengesahkan keputusan mahkamah yang menolak permohonan Kamarul Zaman untuk menggantung bayaran ganti rugi teraebut.
“Permohonan Dr. Kamarul Zaman untuk menggantung bayaran ganti rugi tidak dibenarkan dan permohonan itu telah ditolak dengan kos RM2,500,” kata peguam itu.
Pada 30 Mei lalu, Kamarul Zaman diperintah membayar ganti rugi RM400,000 Hannah berhubung dua hantaran fitnah tersebut.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Aliza Sulaiman memutuskan demikian selepas membenarkan saman fitnah yang dikemukakan Hannah terhadap Kamarul Zaman selain mendapati Menteri Belia dan Sukan itu berjaya membuktikan kesnya.
Berdasarkan saman yang difailkan pada 2022, Hannah selaku plaintif mendakwa Dr. Kamarul Zaman memuat naik dua hantaran Facebook antara 10 Mei dan 17 Mei, 2017, iaitu beliau mendakwa bahawa Hannah mempunyai motif untuk menyebarkan Kristian menerusi politiknya.
Pensyarah itu turut memetik biografi Hannah “Becoming Hannah: A Personal Journey” bagi memacu agenda Kristian dan turut mendakwa beliau berniat untuk mengubah Malaysia menjadi negara Kristian.
Sementara dalam kenyataan pembelaannya, Kamarul Zaman berkata kedua-dua hantaran Facebooknya tidak berunsur fitnah dan mempunyai alasan yang kuat. – KOSMO! ONLINE
The post Permohonan pensyarah tangguh bayar ganti rugi RM400,000 terhadap Hannah Yeoh ditolak appeared first on Kosmo Digital.