Auto Added by WPeMatico

![]()
LANGKAWI – Lebih 1,000 pesawah di pulau ini berkemungkinan terpaksa menangguhkan proses penanaman padi yang dijadualkan pada bulan depan susulan kenaikan kos penanaman mencecah 40 peratus berikutan peningkatan harga diesel.
Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Langkawi, Hassim Saad berkata, jika proses penanaman padi diteruskan, pesawah di situ terpaksa menanggung kerugian.
Katanya, kerugian itu berpunca daripada ketiadaan subsidi diesel daripada kerajaan bagi kegunaan jentera untuk mengusahakan tanaman tersebut.
“Sebelum ini, harga diesel kira-kira RM3.92 seliter tetapi sejak bulan ini harganya melonjak kepada lebih RM6. Ini menjadikan kos jentera bagi setiap relung padi meningkat daripada RM180 kepada RM450,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, ketika ini terdapat lebih 1,000 pesawah berdaftar yang mengusahakan kira-kira 1,700 hektar sawah di pulau berkenaan.
Beliau berharap kerajaan dapat mengkaji semula keperluan memberikan subsidi kepada golongan pesawah yang menghasilkan makanan ruji di negara ini.
Seorang pesawah, Amirudin Abdul, 40, berkata, dia akan mengalami kerugian sekiranya jumlah hasil padi diperoleh kurang daripada satu tan metrik.
“Jika hasil saya sekitar satu tan metrik, saya hanya memperoleh kira-kira RM250 dengan kos diesel yang meningkat ini tetapi sekiranya hasil padi sekitar 750 kilogram (kg), saya akan kerugian sekitar RM150. Saya mohon kepada kerajaan, sekiranya tidak dapat memberikan subsidi diesel kepada kami, naikkan harga padi bagi menampung kos yang semakin meningkat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post Pesawah Langkawi mungkin tangguh tanam padi appeared first on Kosmo Digital.
