Auto Added by WPeMatico

KUALA LUMPUR – Taktik licik sindiket menjadikan sebuah rumah teres di Taman Sri Hartamas sebagai stor penyimpanan dadah terbongkar apabila polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai kira-kira RM18 juta dalam serbuan pada 29 Julai lalu.
Serbuan kira-kira pukul 2.10 petang oleh sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman hasil risikan ke atas lokasi tersebut turut membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun.
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pemeriksaan lanjut di dalam rumah itu menemui 225 bungkusan plastik berisi dadah disyaki syabu seberat 234 kilogram (kg) dan 200 bungkusan plastik mengandungi dadah disyaki ketamin seberat 205.7kg.
“Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas ini dianggarkan mampu digunakan oleh seramai 1.85 juta penagih.
“Modus operandi sindiket ini adalah menjadikan kediaman teres sebagai tempat penyimpanan sebelum dadah itu dipasarkan ke pasaran tempatan,” katanya pada sidang akhbar, di sini hari ini.
Katanya, kesemua dadah berkenaan diperoleh dari negara jiran.
“Suspek merupakan seorang pengatur dan juga pengangkut itu menerima upah kira-kira RM6,500 hingga RM7,000 untuk setiap penghantaran.
“Ini bukan kali pertama, tetapi suspek sudah 10 kali melakukan aktiviti berkenaan,” katanya.
Tambah beliau, nilai keseluruhan rampasan dan sitaan mencecah RM17.9 juta dengan pihaknya menyita dua buah kereta pelbagai jenama dan tiga utas jam tangan.
Turut dirampas barangan kemas serta sebuah telefon bimbit milik suspek di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan anggaran nilai RM93,350.
“Suspek direman selama enam hari bermula 30 Julai bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sekurang-kurangnya 12 sebatan jika sabit kesalahan,” jelasnya.
Menurut Hussein, hasil saringan air kencing mendapati suspek bebas daripada sebarang pengaruh dadah, namun mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan memiliki senjata. – KOSMO! ONLINE
The post Rumah teres jadi stor simpanan, dadah bernilai RM18 juta dirampas appeared first on Kosmo Digital.