Auto Added by WPeMatico

JOHOR BAHRU – Penduduk bimbang kebakaran yang berlaku di Kawasan Perindustrian Kota Puteri berhampiran Taman Megah Ria di sini mengulangi tragedi kejadian kebakaran saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya, April lalu.
Salah seorang penduduk, Zulkarnain Muhammad Nur, 63, memberitahu, dia mula perasan kejadian kebakaran itu selepas melihat kepulan asap hitam tersebut kira-kira pukul 11.30 pagi tadi.
“Kawasan kebakaran dipercayai stor simpanan minyak dan kawasan parkir lori. Kawasan perumahan saya kira-kira 50 meter daripada lokasi kebakaran, jadi rasa bimbang jugalah. Apatah lagi bomba juga arahkan penduduk untuk mengosongkan rumah,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini.
Seorang lagi penduduk, Elesha Alwi, 42, pula memberitahu, dia yang berada di dalam kediamannya terdengar bunyi letupan kuat sehingga mengejutkan ketiga-tiga anaknya yang sedang berehat.
“Dalam pukul 12 lebih tadi saya dengar bunyi dentuman kuat. Kemudian ketika keluar rumah terus terlihat kebakaran dan ketulan asap besar. Perasaan memang bimbanglah kerana api sangat marak dan kebakaran berlaku dekat sahaja dengan kawasan kediaman kami,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Penduduk Taman Megah Ria bimbang tragedi Putra Heights berulang appeared first on Kosmo Digital.