Auto Added by WPeMatico
Mahkamah Rayuan betul ketika membebaskan Syed Saddiq – Peguam

![]()
PUTRAJAYA – Pihak pembelaan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berhujah, Mahkamah Rayuan terdahulu telah membuat keputusan betul dalam membebaskan Syed Saddiq atas empat pertuduhan berhubung dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
Peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Syed Saddiq berkata, selain itu Mahkamah Rayuan juga tidak mempunyai niat jahat ketika melepas dan membebaskan Syed Saddiq.
“Mahkamah Rayuan tidak melakukan sebarang kesilapan yang boleh dirayu, apabila ia memutuskan pendakwar raya gagal membuktikan semua tuduhan terhadap Syed Saddiq pada tahap prima facie. Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan telah meneliti keseluruhan isu dan menerapkan undang-undang dengan betul,” kata peguam itu.
Tambahnya, ketika menimbangkan hujah, Mahkamah Rayuan sendiri telah melihat beberapa aspek keterangan pihak pendakwaan untuk menolak dakwaan perayu mengenai niat jahat atau niat tidak baik.
Hisyam selanjutnya menghujahkan, pengeluaran wang RM1 juta daripada akaun tersebut, tidak terjumlah kepada mana-mana bahagian bagi kesalahan pecah amanah.
Hujah beliau, pihak pendakwaan menyatakan bahawa kes jenayah pecah amanah yang merupakan kesalahan prinsipal, dilakukan oleh Rafiq Hakim dengan cara `penyelewengan dana’.
Ia antaranya tiada keterangan bahawa SP13 bertindak tidak jujur ekoran pengakuan bahawa beliau tidak mengetahui pengeluaran itu satu kesalahan sehingga dimaklumkan oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika siasatan.
Hujah peguam, SP13 sendiri mengaku bahawa pengeluaran itu bagi tujuan program kebajikan Armada dan pegawai penyiasat (SP25) bagi kes subahat pecah amanah, akur dengan penjelasan saksi berkenaan.
“Oleh kerana SP13 tidak melakukan kesalahan prinsipal iaitu pecah amanah, maka Syed Saddiq tidak boleh didakwa di bawah pertuduhan bersubahat dengannya,” hujah beliau.
Hisyam berkata, pendakwaan sangat bergantung kepada keterangan Rafiq Hakim untuk menunjukkan ketidakjujuran dan niat jahatnya apabila saksi itu menyatakan bahawa responden telah meminta beliau untuk “clearkan” wang itu.
Lantaran itu, Mahkamah Rayuan meneliti penghujahan perayu (pendakwaan) mengenai perkara itu, tetapi tidak bersetuju bahawa perkataan “clearkan”, dalam konteks sebenarnya, membawa maksud niat jahat.
Sementara itu, dalam isu pengeluaran RM120,000 ia tidak dibuktikan sebagai milik sesiapa selain Syed Saddiq.
Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Penolong Bendahari Armada ketika itu, Rafiq Hakim Razali yang diamanahkan dana Armada berjumlah RM1 juta untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2, di sini, pada 6 Mac 2020.
Pertuduhan mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya, di sini, antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh didenda.
Syed Saddiq juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.
Bekas Presiden Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu dituduh melakukan kesalahan tersebut di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Bagi kesalahan ini, dia boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram. – KOSMO! ONLINE
The post Mahkamah Rayuan betul ketika membebaskan Syed Saddiq – Peguam appeared first on Kosmo Digital.