Auto Added by WPeMatico

JOHOR BAHRU – Seorang pengurus sebuah syarikat membekal tar jalan diburu majikannya kerana dipercayai menghilangkan diri selepas mencuri wang melebihi RM10 juta sepanjang 20 tahun bekerja di syarikat tersebut.
Pengurus pembangunan perniagaan syarikat itu berkata, pengurus wanita terbabit telah melarikan diri sejak November 2023.
“Syarikat ini menjalankan perniagaan membekal tar jalan, dan wanita itu telah bekerja sebagai pengurus sejak 2004 lagi. Bagaimanapun kita mula mengesyaki dia melakukan pecah amanah dengan tidak memasukkan bayaran tunai ke akaun syarikat pada tahun 2023.
“Kita syak dia terlibat pecah amanah wang berjumlah lebih RM10 juta sejak dia mula bekerja. Bagaimanapun bukti kukuh resit diperoleh sejak 2018 menunjukkan sebanyak RM2.5 juta telah dilarikan, selebihnya resit telah dihilangkan,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di Ibu Pejabat MCA Bahagian Pasir Gudang, di sini hari ini.
Sementara itu, pemilik dan pengarah syarikat berkenaan memberitahu, dia berharap wanita itu akan menghubungi pihak syarikat untuk berunding kaedah penyelesaian terbaik.
Pada masa sama, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd. Sohaimi Ishak ketika dihubungi mengesahkan telah menerima laporan berhubung perkara itu pada 17 Januari 2024 dan kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE
The post Pengurus dipercayai curi wang syarikat lebih RM10 juta appeared first on Kosmo Digital.