Auto Added by WPeMatico

MELAKA – Penduduk di sekitar Paya Luboh, Tangga Batu dekat sini gempar apabila kelibat seekor buaya dipercayai sepanjang 1.5 meter muncul di sungai berhampiran sawah padi, tengah hari tadi.
Kemunculan reptilia itu disedari kira-kira pukul 12 tengah hari oleh sekumpulan pemancing yang sedang memancing di tebing sungai terbabit.
Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Kundor, Datuk Tuminah Kadi berkata, beliau bergegas ke lokasi selepas menerima aduan penduduk mengenai kehadiran buaya berkenaan.
“Buaya berukuran kira-kira 1.5 meter itu dilihat berada di tebing sungai kecil di Paya Luboh, ia berkemungkinan naik ke kawasan berkenaan akibat banjir kilat dan fenomena air pasang, baru-baru ini.
“Sungai kecil itu sering menjadi lokasi kanak-kanak mandi serta aktiviti memancing, jadi saya segera menghubungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Melaka untuk tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Tangga Batu turut berada di lokasi melakukan pemantauan sebelum kes diserahkan kepada pihak Perhilitan.
Sementara itu, Pengarah Perhilitan Melaka, Petra Sulai ketika dihubungi mengesahkan pihaknya telah menghantar kakitangan untuk mengesan reptilia berkenaan. – KOSMO! ONLINE
The post Pemancing terkejut buaya 1.5 meter muncul depan mata appeared first on Kosmo Digital.