Auto Added by WPeMatico


SEBERANG PERAI – Bayi perempuan yang masih hidup dan bertali pusat ditemui ditinggalkan di hadapan tandas sebuah rumah kampung di Sungai Dua di sini, semalam.
Difahamkan, bayi yang dipercayai baru lahir itu diletakkan di dalam beg kitar semula sebelum ditemui orang awam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abdul Rahman berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan bayi itu daripada orang awam kira-kira pukul 6.28 pagi. “Sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara dan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang telah ke lokasi kejadian dan mendapati bayi terbabit masih hidup dan cukup sifat.
“Bayi berkenaan kemudiannya dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) dan disahkan dalam keadaan normal dan sihat sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyrakat (JKM) bagi tindakan susulan,” katanya.
Tambahnya, Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes itu juga diminta berhubung dengan Pegawai Penyiasat kes Inspektor Irwan Shah Sumadi di talian 04 – 576 2222 (sambungan 2275) atau menghubungi mana-mana balai terdekat untuk membantu siasatan. -KOSMO! ONLINE
HABIS//
The post Bayi perempuan cukup sifat ditinggal depan tandas appeared first on Kosmo Digital.