Auto Added by WPeMatico

![]()
SUNGAI BULOH – Sebanyak 40 kilang haram dan sebuah rumah yang dibina di atas tanah kerajaan serta kawasan rizab berhampiran Kem Tentera dirobohkan dalam operasi bersepadu di sini, hari ini.
Penolong Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Muhammad Nadzirul Hafizie M. Daud berkata, tapak-tapak terbabit pada telah diberikan lesen pendudukan sementara (TOL) kepada pengusaha sebelum lesen tersebut tamat tempoh dan tidak diperbaharui.
“Selepas tamat tempoh TOL, pengusaha berkenaan masih meneruskan operasi secara haram di atas tanah kerajaan tanpa sebarang kebenaran dan lesen sah.
“Kawasan yang terlibat dianggarkan seluas 10 hektar melibatkan 40 buah kilang tidak berlesen,” katanya ketika ditemui di lokasi operasi di sini, hari ini.
Menurutnya, pihaknya memberi peluang kepada pengusaha kilang tidak berlesen untuk membuat permohonan secara sah.
“Selepas melalui tujuh kali tempoh pembuktian sebelum ini, fasa terbaharu ini dilanjutkan sehingga tahun 2027 bagi memberi peluang kepada para pengusaha untuk tampil membuat permohonan secara sah,” ujarnya.
Sementara itu, katanya, potongan bayaran premium tanah sebanyak 30 peratus kepada pengusaha yang menyertai Program Pemutihan Kilang Tanpa Kebenaran turut ditawarkan oleh PTG.
Nadzirul menjelaskan, tindakan susulan yang diambil adalah kerja-kerja pembersihan kawasan melibatkan rizab kerajaan yang bersempadan dengan aset keselamatan.
“Bagi kawasan lain yang terlibat dengan projek pembangunan, ia akan dibangunkan semula dengan lebih teratur supaya para peniaga dan pengusaha kilang dapat beroperasi secara sah,” tegasnya.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Supt Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata kerja-kerja pembersihan sedang dijalankan bagi memastikan tiada pembinaan semula atau aktiviti tidak sah dilakukan selepas operasi selesai.
“Fasa pertama dilaksanakan di Sungai Hampar, manakala fasa kedua kini sedang dijalankan dengan kerjasama rapat PTG Selangor. PDRM akan kekal komited memperkukuh penguatkuasaan serta memastikan undang-undang dipatuhi dalam operasi seterusnya,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE
The post 40 kilang haram di Sungai Buloh dirobohkan appeared first on Kosmo Digital.