Auto Added by WPeMatico

![]()
LONDON – Pengendali Sunderland, Regis Le Bris mula memasang impian tinggi buat pasukan selepas memulakan kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan prestasi paling cemerlang dalam tempoh 26 tahun.
Sebagai rekod, skuad Black Cats ketika ini mengumpul 17 mata selepas mengharungi sembilan perlawanan dan berpeluang untuk menambah kutipan mata jika menang ke atas Everton pada aksi awal pagi Selasa nanti.
Menurut Le Bris, tiada sasaran khusus yang ditetapkan oleh pengurusan selain daripada cuba untuk elak daripada berada dalam zon penyingkiran pada musim ini.
“Kita tidak tahu apa yang bakal berlaku pada masa depan, tetapi saya gembira kita dapat mengumpul 17 mata kerana kita ada sasaran tertentu yang mana kita perlu berada di zon selamat dengan meraih mata sebanyak yang boleh.
“Secara peribadi, saya anggap EPL adalah saingan liga terbaik di dunia dan bukan mudah untuk menang ke atas mana-mana pasukan. Namun, sekarang kita berada di kedudukan yang positif dan pihak lawan pasti menggandakan usaha untuk menewaskan kami,” katanya.
Sementara itu, pengendali kelahiran Perancis itu turut menyifatkan impak kapten, Granit Xhaka yang cukup penting dalam membantu pasukan untuk tampil yakin dalam pentas EPL musim ini.
“Xhaka menunjukkan contoh yang baik dan menjadi teladan buat rakan sepasukan. Semua pemain meletakkan kepercayaan kepadanya dan dia banyak membantu barisan jurulatih menyampaikan perubahan taktikal di atas padang,” katanya. – AGENSI
The post EPL: Sunderland mahu terus ‘bermimpi indah’ appeared first on Kosmo Digital.