Auto Added by WPeMatico

PETALING JAYA – “Adakah ini akan melemahkan kami? Tidak sama sekali,” kata Pengasas Cinta Salam Malaysia, Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman.
Beliau memuat naik hantaran ringkas berhubung serangan dron melibatkan kapal digunakannya bagi misi Global Sumud Flotilla (GSF) malam tadi.
“Bot saya, Iylia dan Sul pula menjadi sasaran dron malam ini. Alhamdulillah api berjaya dipadamkan dan tiada kecederaan dilaporkan,” katanya hari ini.
Kapal yang digunakan oleh Ahmad Musa Al-Nuwayri itu turut digunakan oleh dua lagi sukarelawan Malaysia iaitu sukarelawan Cinta Salam Malaysia, Iylia Balqis Suhaimi dan Editor Video Cinta Gaza Malaysia, Sul Aidil.
Sementara itu, Iylia Balqis menyifatkan, serangan berulang itu satu usaha terancang untuk mengalihkan perhatian dan menggagalkan misi tersebut.
“Namun insya-Allah, pelayaran ini tidak akan berhenti. Global Sumud Flotilla akan terus maju, membawa misi kemanusiaan untuk memecahkan kepungan haram Israel ke atas Gaza dan berdiri teguh bersama saudara-saudara kita di Palestin.
“Doakan langkah kami terus dilindungi dan diberi kekuatan,” katanya pada hantaran Facebook.
Kosmo! melaporkan, satu lagi serangan dron ke atas sebuah kapal misi GSF berlaku di perairan Tunisia kira-kira 11.21 malam tadi, menyebabkan kebakaran dan kerosakan pada kapal terbabit, namun tiada kecederaan dilaporkan.
Difahamkan kapal itu dinaiki Ahmad Musa Al-Nuwayri iaitu adik Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri.
Sebelum ini, GSF mengesahkan salah sebuah bot utama dikenali sebagai ‘Family Boat’ yang membawa ahli Jawatankuasa Pemandu telah diserang oleh sebuah dron di perairan Tunisia.
GSF dalam kenyataannya dipetik berkata, bot tersebut berlayar di bawah bendera Portugal dan kesemua enam penumpang serta kru berada dalam keadaan selamat. – KOSMO! ONLINE
The post Serangan ke atas Sumud Flotilla tidak lemahkan kami – Sukarelawan Malaysia appeared first on Kosmo Digital.