Auto Added by WPeMatico

KUCHING – Masyarakat di pedalaman Sarawak, Sabah lebih memerlukan wang tunai berbanding bantuan seperti Sumbangan Asas Rahmah (Sara).
Felow Kehormat Institut Masa Depan Malaysia, Datuk Dr. Madeline Berma berkata, disebabkan itu ada yang menjual barangan yang dibeli menggunakan Sara RM100 untuk mendapatkan wang tunai.
Menurutnya, berdasarkan penyelidikannya, antara alasan diberikan adalah mereka memerlukan wang tunai untuk membeli barangan keperluan lain, tetapi tidak disenaraikan dalam 14 kategori barangan yang boleh dibeli menggunakan bantuan Sara.
“Mereka nak wang tunai untuk beli keperluan asas seperti sayuran dari hutan (rebung, paku pakis, upa), ikan sungai (baong, lais, enseluai) dan daging binatang buruan (rusa, babi hutan) di pasar tamu.
“Wang tunai untuk beli minyak bot di kawasan pendalaman, wang tunai untuk kegunaan bila pergi ke klinik di bandar, urusan rasmi dengan pejabat kerajaan, wang tunai untuk duit saku sekolah anak-anak. Harga minyak mencecah RM70 sekali pergi. Mereka perlu wang tunai,” katanya menerusi perkongsian di laman media sosialnya.
Justeru, Madeline menyifatkan adalah tidak wajar untuk segelintir pihak atau netizen di media sosial marah dengan tindakan golongan yang lebih memerlukan wang tunai itu menjual barangan yang dibeli menggunakan bantuan Sara.
“Itulah realiti kehidupan masyarakat kami di pendalaman Sarawak, Sabah. Banyak barangan yang layak dibeli mengunan Sara, tetapi ia bukan keperluan asas bagi mereka di kawasan pendalaman,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Masyarakat pedalaman Sarawak, Sabah lebih perlukan tunai berbanding Sara appeared first on Kosmo Digital.