Auto Added by WPeMatico
Kampung Sungai Baru: Sultan Selangor titah isu dikendalikan berhemah, teliti

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah agar isu pembangunan semula tanah di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur dikendalikan dengan teliti dan berhemah.
Titah baginda, keutamaan harus diberikan kepada kepentingan orang Melayu.
Sultan Sharafuddin menegaskan baginda tiada halangan sekiranya kawasan Kampong Bharu hendak dibangunkan seiring dengan peredaran zaman, namun syarat-syaratnya harus jelas dan berpihak kepada orang Melayu.
“Sebab itu, Beta mahu dalam setiap butir pertimbangan yang dilakukan oleh semua pihak berkaitan mengenai hal ini, sejarah asal penubuhan dan warisan kawasan Kampong Bharu harus diambil kira.
“Kampong Bharu memainkan peranan penting kepada kelangsungan dan maruah orang Melayu di Kuala Lumpur.
“Maka, sebarang keputusan atau usaha-usaha pembangunan di Kampong Bharu harus mengambil kira kepentingan orang Melayu untuk waktu ini dan juga untuk jangka masa panjang,” titah baginda menerusi kenyataan dikeluarkan Istana Alam Shah, hari ini.
Sultan Sharafuddin bertitah, Kampong Bharu telah ditubuhkan pada tahun 1899 dan diiktiraf sebagai penempatan masyarakat Melayu untuk tujuan pertanian, hasil kurniaan daripada nenda baginda, Sultan Selangor Ke-5, Almarhum Sultan Sir Alaeddin Sulaiman Shah Almarhum Raja Muda Musa melalui Warta Kerajaan Negeri Selangor bertarikh 12 Januari 1900 sebagai rizab Malay Agricultural Settlement (M.A.S).
Sultan Sharafuddin turut mengimbas semula susur galur sejarah dan peristiwa penting orang Melayu yang telah berlaku di Kampong Bharu dan harus dipelihara.
“Ini kerana Beta sendiri pernah menetap dan bersekolah di Sekolah Kebangsaan Raja Muda di Kampong Bharu, ketika ayahanda beta, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah menjadi Raja Muda Selangor.
“Allahyarham ayahanda kepada Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin juga lahir di Kampong Bharu di mana Tengku Permaisuri sekeluarga tinggal dan membesar,” titahnya.
Baginda memaklumkan sebagai nadi pembangunan Kuala Lumpur pada suatu ketika, Kampong Bharu menempatkan Kelab Sultan Sulaiman yang merupakan lokasi berlangsungnya Kongres Melayu SeMalaya pada tahun 1946 yang mencetuskan penubuhan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO).
“Semasa tragedi 13 Mei 1969, Kelab Sultan Sulaiman juga dijadikan tempat perlindungan orang-orang Melayu.
“Padang Kelab Sultan Sulaiman turut digunakan sebagai tempat latihan pasukan bola sepak Selangor sebelum terbinanya Stadium Merdeka. Kini, Bangunan Warisan Kelab Sultan Sulaiman masih menjadi hakmilik Kerajaan Negeri Selangor,” titahnya.
Sultan Sharafuddin bertitah, kediaman rasmi Datuk Menteri Besar Selangor dan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor juga berada di Kampong Bharu sebelum Kuala Lumpur diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan.
“Lebih nostalgik, persefahaman pernah dicapai supaya Masjid Jamek Kampong Bharu yang telah dirasmikan oleh Sultan Selangor ke-6, Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah, harus dikekalkan di lokasi sedia ada dan tidak boleh dipindahkan ke tempat lain.
“Sesungguhnya, Kampong Bharu adalah simbol kebangkitan orang Melayu sejak tahun 1900,” katanya.
Terdahulu, pengusiran melibatkan penduduk di Kampung Sungai Baru pada 11 September lalu bertukar menjadi kecoh termasuk Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizme Affendy Sulaiman turut cedera dibaling objek.
Projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru oleh KLCG sebelum ini mendapat tentangan sebahagian penduduk walaupun majoriti sudah menerima tawaran pampasan dan berpindah keluar lebih awal. – KOSMO! ONLINE
The post Kampung Sungai Baru: Sultan Selangor titah isu dikendalikan berhemah, teliti appeared first on Kosmo Digital.