Auto Added by WPeMatico

TOKYO – Jepun mencatat dua rekod baharu suhu panas dalam satu hari pada hari ini apabila termometer mencecah 41.6 celsius dan kemudian 41.8 celsius, kata pejabat kaji cuaca, memberi amaran suhu mungkin meningkat lagi.
Suhu di seluruh dunia melonjak dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini kerana perubahan iklim mencetuskan corak cuaca semakin tidak menentu, dan Jepun tidak terkecuali.
Suhu panas terik di bandar Isesaki hari ini mengatasi rekod sebelumnya yang dicatat di wilayah Hyogo, barat Jepun iaitu 41.2 celsius, hanya minggu lalu.
Musim panas Jepun pada tahun lalu adalah yang paling panas pernah direkodkan, menyamai paras pada tahun 2023, diikuti dengan musim luruh paling panas sejak catatan rekod bermula 126 tahun lalu.
Minggu lalu di tempat tumpuan pelancong, Kyoto pula, termometer mencatat bacaan 40 darjah celsius. Ia adalah bacaan kali pertama seumpamanya di mana-mana pos pemerhatian suhu di Jepun dengan yang tertua dibuka pada 1880 dan terbaru pada tahun 2002.
Pakar-pakar memberi amaran pokok ceri kesayangan Jepun mekar lebih awal kerana iklim menjadi lebih panas atau kadang-kadang tidak mekar sepenuhnya berikutan musim luruh dan musim sejuk tidak cukup sejuk untuk menggalakkan pendebungaan.
Puncak bersalji Gunung Fuji yang terkenal tidak kelihatan untuk tempoh paling lama pada tahun lepas dengan salji tidak muncul sehingga awal November, berbanding purata awal Oktober sebelumnya. – AFP
The post Suhu di Jepun 41.8 celsius hari ini appeared first on Kosmo Digital.