Auto Added by WPeMatico

![]()
BEREGU wanita utama negara, Pearly Tan–M. Thinaah memulakan kempen Final Jelajah Dunia BWF dengan langkah kanan apabila mencatat kemenangan bergaya ke atas pasangan China, Jia Yifan–Zhang Shuxian dalam aksi pembukaan Kumpulan A, sebentar tadi.
Masih dibuai kejayaan merangkul pingat emas Sukan SEA Thailand tiga hari lalu, Pearly–Thinaah langsung tidak menunjukkan tanda keletihan apabila menguasai perlawanan untuk menang straight set 21-17, 21-11.
Kemenangan itu cukup bermakna buat beregu negara apabila ia menamatkan badi kekalahan kepada Yifan–Shuxian selepas tewas dalam lima pertemuan terdahulu, sekali gus menyuntik keyakinan awal di pentas elit dunia.
Pearly mengakui keputusan tersebut amat bermakna memandangkan mereka meletakkan fokus penuh terhadap kejohanan berprestij itu sejak awal persiapan.
“Sudah tentu kemenangan ini sangat bermakna buat kami. Kami benar-benar membuat persiapan khusus untuk Final Jelajah Dunia dan matlamat utama kami hanyalah untuk beraksi tanpa sebarang penyesalan di dalam gelanggang,” katanya.
Mengulas jadual padat selepas Sukan SEA, Pearly berkata mereka cuba memanfaatkan masa terhad dengan rehat secukupnya sebaik tiba di lokasi kejohanan.
“Kami memang tidak mempunyai banyak masa, tetapi kami cuba berehat sebanyak mungkin. Selepas perjalanan, kami tidur secukupnya dan saya rasa proses pemulihan berjalan dengan baik,” ujarnya.
Thinaah menegaskan pendekatan lebih sabar, fokus kepada permainan sendiri serta kepercayaan antara mereka menjadi kunci kemenangan, termasuk ketika memenangi rali panjang pada set kedua.
“Kami cuba kekal tenang, lebih sabar dan fokus pada permainan sendiri. Kami juga mencuba pendekatan baharu berbanding pertemuan sebelum ini dan ternyata ia menjadi. Kami berharap dapat mengekalkan momentum ini,” tambahnya.
Kemenangan tersebut meletakkan Pearly–Thinaah pada landasan terbaik untuk meneruskan cabaran dalam baki perlawanan peringkat kumpulan, sekali gus membuka peluang untuk melangkah lebih jauh di Final Jelajah Dunia BWF. KOSMO! ONLINE
The post Pearly–Thinaah buka kempen cemerlang appeared first on Kosmo Digital.