Auto Added by WPeMatico

GEORGE TOWN – Ugutan siber membabitkan kandungan pornografi dipercayai menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) kepada beberapa wakil rakyat dipercayai datang daripada rangkaian emel yang sama.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, siasatan awal mendapati modus operandi penjenayah siber itu mungkin menggunakan maklumat rasmi yang diperoleh secara terbuka di laman web Dewan Rakyat, Dewan Negara dan Dewan Undangan Negeri.
“Dipercayai scammer ini menggunakan alamat emel rasmi dan gambar profil yang boleh diakses secara awam untuk menyasarkan ahli Parlimen serta Ahli Dewan Undangan Negeri.
“Setakat ini, kebanyakan penerima ugutan adalah lelaki, dan saya belum menerima laporan wakil rakyat wanita yang terlibat,” katanya selepas menyampaikan bantuan Tabung Kasih@Hawana kepada pengamal media Pulau Pinang di sini, hari ini.
Sebelum ini, Fahmi turut mengesahkan beliau antara 10 ahli politik yang menjadi mangsa ugutan siber membabitkan kandungan pornografi dipercayai menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Katanya, antara wakil rakyat yang menerima ugutan siber dihantar melalui e-mel adalah Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli; Ahli Parlimen Subang, Wong Chen; Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq Johari dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, notis peringatan turut dihantar oleh Setiausaha Dewan Rakyat hari ini, bagi mengingatkan semua wakil rakyat agar berwaspada dengan ancaman berkenaan.
Menurut Fahmi, ugutan itu dipercayai berbentuk phishing dengan pautan atau kod QR yang mampu membawa kepada serangan malware jika pengguna mengaksesnya. – KOSMO! ONLINE
The post Kebanyakan wakil rakyat terima ugutan adalah lelaki – Fahmi appeared first on Kosmo Digital.