Auto Added by WPeMatico

“GELATO saya buat sendiri lagi sedap!” Itu reaksi seorang peserta cilik dalam Bengkel Membuat Gelato di Putrajaya, baru-baru ini.
Mana tidaknya, kuantiti bahan-bahan yang sepatutnya ikut resipi disediakan diolahnya sendiri. Disuruh masukkan 140 gram sukrosa (gula), dibubuhnya 160 gram!
Yalah, kanak-kanak, begitulah ragamnya. Nakal tapi bijak.
Seramai 24 kanak-kanak berusia antara 7 hingga 12 tahun menyertai bengkel anjuran kafe Gelato A Lago di Presint 5.
Menurut pengasasnya, Sheikh Abd. Rahman, objektif penganjuran bengkel sedemikian bertujuan memberi kefahaman kepada peserta serta ibu bapa masing-masing mengenai gelato.
“Ramai yang mempunyai persepsi yang gelato mengandungi gelatin, tapi sebenarnya tiada. Gelato tradisional tiada gelatin.
“Menerusi bengkel sebegini, kanak-kanak dan ibu bapa boleh faham apa yang mereka makan (gelato). Kita gunakan susu dan bahan diperbuat daripada tumbuh-tumbuhan,” kata bekas jurutera aeroangkasa ini.
Bengkel dimulakan dengan sesi pengenalan mengenai gelato yang berasal dari Itali dan makanan-makanan popular dari negara berkenaan seperti piza, pasta, keju, kopi juga ikon jenama termasuk Vespa serta Ferrari. Juga sejarah kafe berkenaan yang dibuka pada Oktober 2025.

Ceritanya, pada zaman Mesir purba, golongan istana menyajikan pemanis mulut kepada tetamu diperbuat daripada salji diambil dari gunung lalu dibubuh buah-buahan, bunga-bungaan dan madu.
Orang-orang Arab yang menguasai Sicily di Itali kemudian mencampurkannya dengan sirap serbat dan inilah permulaannya tercipta gelato.
Di Itali, satu pertandingan memasak pernah dianjurkan oleh keluarga bangsawan Medici pada abad ke-16.
Ia dimenangi oleh tukang masak bernama Cosimo Ruggeri yang memperkenalkan pemanis mulut beku diperbuat daripada ais, gula dan jus buah-buahan hingga mempopularkan serbat buah-buahan moden sampai ke Perancis.
Pada 1565, ia dicampur susu dan telur oleh seorang pereka santapan diraja Sepanyol menjadikan gelato lebih berkrim.
Pada 1686, ia mula dijual secara terbuka di kafe di Perancis menjadikan gelato dapat dinikmati oleh semua orang sehingga hari ini, bukan lagi khusus kepada golongan bangsawan.
Dalam bengkel anjuran Gelato A Lago itu, peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil untuk mereka belajar bersosial dan bekerjasama antara satu sama lain.
Mereka diberikan resipi, alat penimbang dan bahan-bahan kering untuk proses permulaan membuat gelato.

Proses mengisar yang paling disukai kerana berpeluang mengawal sendiri mesin selain melihat tekstur campuran berubah sedikit demi sedikit menjadi seperti milkshake.
Adunan itu kemudian dibawa ke dapur lalu dimasukkan ke dalam mesin untuk proses menggodak selama 30 minit.
Mereka berpeluang mengendalikan mesin-mesin berprestasi tinggi yang menggunakan teknologi kejuruteraan Itali hingga diberi gelaran ‘Mesin Gelato Ferrari.’
Sesi paling ditunggu-tunggu, merasai gelato yang dibuat sendiri! Selain itu, mereka juga boleh membawa pulang gelato tersebut dan dianugerahkan sijil penyertaan yang melayakkan mereka ‘sah’ sebagai artis atau pakar membuat gelato!
Setelah dua jam dalam bengkel itu, fahamlah saya serba sedikit yang proses membuat gelato dan ais krim hampir sama. Cumanya gelato menggunakan banyak susu dan menghasilkan kurang udara semasa digodak secara perlahan-lahan menjadikan tekstur lebih likat tapi lembut.
Ais krim pula menggunakan lebih banyak krim hingga mewujudkan kandungan udara lebih tinggi serta mengandungi lemak. Ia digodak laju dan disejukkan dalam suhu tinggi hingga tekstur menjadi lebih keras.
Selepas ini kalau diberi pilihan sama ada mahu makan gelato atau ais krim, semestinya gelato. Sebab ia mudah cair di dalam mulut.
The post Gelato saya buat sendiri lagi sedap appeared first on Utusan Malaysia.
