Auto Added by WPeMatico
Anwar sambut baik gencatan senjata sementara Pakistan-Afghanistan

![]()
PETALING JAYA – Malaysia menyambut baik pengumuman gencatan senjata sementara operasi antara Pakistan dan Afghanistan sempena perayaan Aidilfitri.
Perkara tersebut dizahirkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam perbualan telefon bersama Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif selepas pulang dari lawatan ke Pulau Pinang.
Dalam masa sama, beliau menggesa semua pihak agar meneruskan usaha de-eskalasi demi mencapai keamanan yang berkekalan di rantau berkenaan.
“Saya turut menyambut baik pengumuman gencatan senjata sementara operasi antara Pakistan dan Afghanistan sempena Aidilfitri, dan menggesa semua pihak untuk meneruskan usaha de-eskalasi ke arah keamanan berkekalan,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Anwar berkata, perbualan itu dimanfaatkan untuk bertukar pandangan, di samping saling menyampaikan ucapan Aidilfitri serta menzahirkan komitmen bersama untuk terus memperkukuh hubungan erat dan kerjasama strategik antara Malaysia dan Pakistan.
Selain itu, beliau berkata, Malaysia juga menyuarakan kebimbangan terhadap ketegangan yang berlaku di Timur Tengah, termasuk melibatkan Iran.
Menurutnya, situasi berkenaan memerlukan semua pihak menghentikan sebarang bentuk eskalasi dan mengutamakan pendekatan dialog bagi menjamin kestabilan serantau.
“Malaysia turut menyuarakan kebimbangan terhadap ketegangan di Timur Tengah melibatkan Iran, serta menegaskan keperluan mendesak untuk menghentikan eskalasi dan mengutamakan dialog,” ujarnya.- KOSMO! ONLINE
The post Anwar sambut baik gencatan senjata sementara Pakistan-Afghanistan appeared first on Kosmo Digital.
