Auto Added by WPeMatico

KOTA KINABALU – Peguam keluarga Allahyarham Zara Qairina Mahathir, Shahlan Jufri menjelaskan laporan sebelum ini yang menyatakan ibu remaja berkenaan tidak mahu bedah siasat dijalankan adalah tidak tepat.
Shahlan berkata, dakwaan seumpama itu tidak seharusnya timbul.
“Saya ingat balik ada membaca satu petikan di akhbar mengatakan ibu arwah sendiri yang tidak mahu bedah siasat dibuat. Itu tidak benar.
“Sebab secara mudahnya, pihak yang berkaitan dan yang berautoriti tahu apa tugas mereka. Kalau sekiranya ada kematian seperti itu, pihak berautoriti menyalahkan ibu, itu salah,” katanya ketika ditemui di sini, malam tadi.
Tambah beliau, permohonan mengadakan inkues bakal dilaksanakan sekiranya keputusan bedah siasat yang dijalankan ke atas jenazah remaja berkenaan tidak memuaskan hati keluarga.
Katanya, inkues juga tidak akan diminta jika terdapat suspek yang dituduh dalam kes terbabit.
“Setakat ini laporan bedah siasat yang lengkap belum ada. Ia berikutan proses bedah siasat baru siap pada pukul 7.30 malam tadi.
“Namun selepas ini jika kami mahupun ahli keluarga tidak berpuas hati dengan hasil bedah siasat, kita boleh minta inkues. Itu yang paling penting.
“Kalau ada yang kena tangkap atau kena tuduh maka tiadalah permohonan inkues,” katanya.
Shahlan berkata, pihaknya berharap ada suspek yang akan dituduh dalam kes terbabit tetapi perkara itu diserahkan kepada polis sebagai pihak yang paling tepat untuk menjawab.
Menurutnya sekiranya inkues dibuat, perkara itu akan dikendalikan oleh pasukan khas. – KOSMO! ONLINE
The post Laporan ibu Zara enggan anak dibedah siasat tidak tepat – Peguam appeared first on Kosmo Digital.