Auto Added by WPeMatico

![]()
BAU – Tentera Darat (TD) melumpuhkan sindiket penyeludupan rokok rentas sempadan bernilai lebih setengah juta di Serikin, di sini semalam.
Markas Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat dalam kenyataan, berkata kejayaan itu hasil tindakan pantas anggota TD dengan memintas sebuah lori tiga tan yang membawa muatan rokok seludup itu sebelum sempat meloloskan diri ke negara jiran kira-kira jam 11.35 pagi.
“Anggota yang sedang beroperasi telah mengesan sebuah lori bergerak laju dalam keadaan mencurigakan di satu laluan haram dan analisis lapangan mengesahkan kenderaan tersebut sedang bergerak dari arah Kampung Sebobok menghala terus ke sempadan negara jiran.
“Pasukan TD bertindak tangkas mengepung laluan tersebut dan menahan lori berkenaan hanya beberapa kilometer sebelum ia mencecah garis sempadan antarabangsa, sekali gus menggagalkan taktik sindiket yang cuba menggunakan waktu puncak untuk melepaskan barang keluar,” katanya.
Kenyataan itu menambah, pemeriksaan ke atas lori tersebut menemui muatan rokok berskala besar yang cuba disembunyikan di sebalik kanvas, sekali gus membawa kepada rampasan 12,180 karton rokok pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM517,200.
Katanya, pemandu lori terbabit iaitu seorang lelaki warga tempatan berusia 51 tahun turut ditahan.- KOSMO! ONLINE
The post Tentera darat tahan lori seludup keluar 12,180 karton rokok di Serikin appeared first on Kosmo Digital.