Auto Added by WPeMatico

![]()
SEBERANG PERAI – Dua beradik yang maut dalam kemalangan di Kilometer 115.3 Lebuh Raya Utara Selatan menghala ke Bertam di sini, semalam dikatakan sempat mencuba baju raya sedondon yang dibeli ibu mereka secara dalam talian, Jumaat lalu.
Abang sulung kepada mangsa, Luqman Nulrois Muhammad Shukor, 19 dan, Siti Nurzulaikha, 18, iaitu, Luqman Nulhakim, 21 berkata, masing-masing adiknya itu mengenakan baju kurang dan baju Melayu sejurus pulang bermalam di rumah, dari asrama Kolej Vokasional Nibong Tebal.
Luqman Nulrois merupakan anak kedua manakala Siti Nurzulaikha anak ketiga daripada enam beradik. Kedua-dua mereka merupakan pelajar Tahun Dua dan Tiga Kolej Vokasional Nibong Tebal.
Menurutnya lagi, sepanjang berada di rumah, adik perempuannya itu kelihatan ceria manakala adik lelakinya pula berubah pendiam berbanding sebelum ini dia merupakan seorang yang periang dan gemar berkongsi cerita.
“Saya perasan perubahan sikap dua adik saya ini. Kami memang rapat dan sentiasa berhubung. Mereka berdua sempat cuba baju raya berwarna ‘teal blue’ yang dipilih ibu untuk tema Hari Raya Aidilfitri kali ini. Memang kami sekeluarga akan pakai sedondon setiap kali sambut raya.
“Adik lelaki memang berubah pendiam sejak dia balik dari asrama manakala adik perempuan pua bersemangat untuk mengecat sendiri bahagian dapur dan bilik tidurnya yang baru diubah suai. Dia sempat cat sebahagian biliknya dengan warga kelabu pada Sabtu lalu.
“Saya nampak dia (Siti Nurzulaikha) sangat teruja untuk menyambut hari raya tapi mereka berdua dah pergi buat selama-lamanya. Tiada lagi foto raya keluarga kami berpakaian sedondon tahun ini,” katanya kepada Kosmo! di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau memberitahu lagi, dia mengetahui mengenai kejadian menimpa dua adiknya daripada ibunya petang semalam.
“Ibu dapat panggil daripada pihak KV (Kolej Vokasional) dan terus menghubungi saya. Saya dimaklumkan yang adik perempuan meninggal di lokasi kejadian manakala adik lelaki dibawa ke hospital. Saya ingatkan dia boleh diselamatkan tetapi tidak.
“Saya reda dengan kejadian menimpa mereka di bulan yang baik. Saya dah hilang dua adik serentak,” katanya sebak.
Jelasnya lagi, sehingga hari ini, pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire yang terbabit kemalangan dengan motosikal adiknya masih tidak datang bertemu dengan mereka sekeluarga.
“Sekurang-kurangnya datanglah berjumpa. Kami juga nak tahu apa yang berlaku ketika itu,” katanya.
Jenazah dua beradik selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batas Ubi, Teroi, Yan di Kedah, petang tadi.
Semalam, Kosmo! Online melaporkan dua beradik yang juga pelajar Kolej Vokasional Nibong Tebal maut apabila motosikal yang mereka naiki merempuh belakang sebuah kenderaan MPV yang berhenti di lorong kecemasan, Lebuh Raya Utara Selatan, kira-kira pukul 5 petang, semalam.
Mangsa yang juga pembonceng, Siti Nurzulaikha disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala abangnya, Luqman Nulrois maut ketika mendapatkan rawatan di Hospital Kepala Batas akibat kecederaan parah.
Kejadian berlaku ketika dua beradik tersebut dikatakan dalam perjalanan pulang ke asrama sekolah dari rumah mereka di Guar Chempedak di Kedah.
Difahamkan, motosikal mangsa dipercayai jenis Honda RS telah merempuh kenderaan jenis Toyota Vellfire yang semasa itu berhenti di lorong kecemasan dipercayai akibat masalah tayar belakang. -KOSMO! ONLINE
The post Mereka sempat cuba baju raya ‘teal blue’ appeared first on Kosmo Digital.
