Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Situasi banjir di seluruh negara terus menunjukkan peningkatan. Setakat pukul 12 tengah hari, seramai 34,289 mangsa daripada 11,547 keluarga direkodkan berada di 220 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di tujuh negeri.
Menurut Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC), Kelantan kekal mencatat jumlah tertinggi dengan 10,907 mangsa yang ditempatkan di 66 PPS. Daerah Tumpat merekodkan angka terbesar iaitu 4,421 mangsa, diikuti Kota Bharu (2,420) dan Bachok (2,051).
Perlis pula merekodkan 7,270 mangsa, sekali gus menjadi negeri kedua paling terjejas, dengan kesemua mangsa ditempatkan di 24 PPS yang kini menunjukkan tren meningkat.
Perak turut mencatat peningkatan kepada 5,313 mangsa, terutama di Manjung, Perak Tengah dan Hilir Perak.
Di Kedah, seramai 4,270 mangsa direkodkan melibatkan tiga daerah utama (Kota Setar, Kubang Pasu dan Pokok Sena) manakala Terengganu melibatkan 4,013 mangsa apabila beberapa daerah seperti Setiu, Kuala Terengganu serta Dungun menunjukkan pertambahan bilangan mangsa.
Selangor turut melonjak kepada 2,497 mangsa, dengan Kuala Selangor mencatat jumlah tertinggi iaitu 2,210 mangsa.
Pahang pula merekodkan jumlah terendah dengan 19 mangsa di daerah Lipis.
NDCC turut memaklumkan dua kematian dilaporkan di Kelantan, masing-masing di Tanah Merah dan Gua Musang, menjadikan jumlah kumulatif korban banjir sejak 13 November sebanyak dua kes.
Sementara itu, Jabatan Meterologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap buruk (jingga) di Kelantan dan Terengganu sehingga esok selain ribut petir dan hujan lebat di beberapa negeri lain termasuk Perak, Selangor, Sabah dan Labuan pada pagi ini.- KOSMO! ONLINE.
The post Mangsa banjir tujuh negeri makin bertambah appeared first on Kosmo Digital.