Auto Added by WPeMatico

![]()
KLANG – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya membongkar helah sindiket menyeludup masuk minuman keras yang diisytiharkan sebagai perencah salad dan bangku, baru-baru ini.
Operasi itu dijalankan antara 14 Oktober hingga 4 November lalu melibatkan serbuan ke atas sebuah kedai bebas cukai (KBC), sebuah gudang di Zon Bebas Pelabuhan Utara serta sebuah kedai runcit di Shah Alam.
Pengarah Kastam Selangor, Mohamad Azhar Ahmad Paharazi berkata, menerusi operasi itu berjaya merampas keseluruhan 4,887.51 liter minuman keras pelbagai jenis berjumlah RM807,646 termasuk duti cukai.
Menurutnya, siasatan lanjut mendapati salah sebuah kedai iaitu KBC telah tamat tempoh lesennya.
“Malah berdasarkan pemeriksaan terhadap 16 buah palet berkotak kayu di dalam Zon Bebas Pelabuhan Utara menunjukkan tidak mempunyai permit import. Dagangan itu telah diisytiharkan sebagai perasa salad dan bangku,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Kastam Pelabuhan Utara di sini hari ini.
Beliau menambah, pihaknya juga berjaya menahan seorang lelaki yang merupakan penjaga kedai runcit menjual minuman keras tanpa permit import.
Dalam pada itu, Mohamad Azhar berkata, sejumlah 28.81 juta batang rokok dirampas dengan 10 juta daripadanya diikrarkan sebagai pakaian.
“Rampasan itu melibatkan pemeriksaan terhadap tiga buah kontena ‘transhipment’ di Zon Bebas Pelabuhan Barat pada 29 Oktober hingga 4 November lalu.
“Nilai keseluruhan rokok termasuk cukai adalah RM23.5 juta dengan kes disiasat dibawah Seksyen 133 (1) (a) dan 135 (1) (a) dan (d) Akta Kastam 1967,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post Seludup arak sebagai perencah salad appeared first on Kosmo Digital.