Auto Added by WPeMatico

![]()
SELAYANG – Kawasan dikenal pasti sebagai lokasi tumpuan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Selayang Baru di sini dikepung penguat kuasa menerusi operasi bersepadu, malam tadi.
Operasi berskala besar yang bermula kira-kira pukul 8 malam itu diselaraskan Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Selangor dan diketuai Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Serbuan tersebut melibatkan kerjasama pelbagai agensi termasuk Jabatan Imigresen (JIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta pihak berkuasa tempatan.
Amirudin berkata, seramai 843 individu disyaki PATI termasuk 35 wanita ditahan hasil pemeriksaan terhadap 1,116 orang dalam operasi berkenaan.
“Daripada jumlah itu, 647 melibatkan warga Myanmar, diikuti Nepal (102), Bangladesh (79), Indonesia (15) dan India (10).
“Kesemua yang ditahan berusia antara 21 hingga 53 tahun dan disyaki melakukan pelbagai kesalahan termasuk tidak memiliki dokumen pengenalan diri, melanggar syarat pas, tinggal lebih masa serta memegang kad yang tidak diiktiraf,” katanya pada sidang akhbar di lokasi operasi malam tadi.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Datuk Lokman Effendi Ramli; Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar serta Pengarah Imigresen Selangor, Khairul Aminus Kamaruddin.
Amirudin berkata, operasi berkenaan dilaksanakan susulan aduan awam yang resah dengan lambakan warga asing serta aktiviti perniagaan tanpa lesen di kawasan terbabit.
Katanya, tindakan tegas itu turut menjadi peringatan kepada warga tempatan, khususnya majikan, agar tidak menggajikan PATI dan sentiasa mematuhi undang-undang negara.
“Kita sebelum ini juga telah melaksanakan operasi bersepadu di beberapa lokasi lain termasuk di Seri Muda dan Pasar Borong Selangor,” katanya.
Mengulas faktor kos sewaan yang dikatakan menjadi tarikan warga asing menetap di Selayang Baru, Amirudin menjelaskan perkara itu dipengaruhi permintaan dan penawaran memandangkan lokasi berkenaan hanya sekitar 20 minit dari Kuala Lumpur.
Beliau berkata, operasi bersepadu akan diteruskan secara berterusan bagi mengesan, menangkap, mendakwa serta mengusir warga asing yang melanggar peruntukan undang-undang, selaras Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.
Tambahnya, orang ramai dan majikan diingatkan supaya tidak melindungi PATI kerana perbuatan tersebut merupakan satu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan undang-undang. – KOSMO! ONLINE
The post MB Selangor ketuai Ops Selayang, 843 PATI di Selayang digempur appeared first on Kosmo Digital.