Auto Added by WPeMatico

![]()
PUTRAJAYA – Kerajaan diminta tampil memberikan penjelasan berhubung dakwaan persetujuan penerimaan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) daripada sekolah swasta Cina sekiranya pelajarnya mengambil dua mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu dan Sejarah.
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Syed Hasan Syed Ali berkata, pihaknya memandang serius dakwaan berkenaan kerana ia bercanggah dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan.
“Pengiktirafan UEC akan menghancurkan prinsip kesamarataan sistem pendidikan, apabila pelajar aliran kebangsaan diwajibkan lulus Bahasa Melayudan Sejarah, sedangkan pemegang UEC dikecualikan daripada keperluan asas kenegaraan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyerahkan memorandum kepada Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Azam Ahmad di sini, hari ini.
Beliau berkata, terdapat dakwaan bahawa pelajar sekolah menengah persendirian Cina dibenarkan mengambil hanya dua mata pelajaran SPM berbanding enam subjek seperti ditetapkan sebelum ini.
Menurutnya, beliau dimaklumkan mengenai perkara tersebut selepas pertemuan Kementerian Pendidikan dengan Dong Zong, bulan lalu.
“Saya difahamkan mereka boleh mengambil dua mata pelajaran sahaja untuk pelajar yang menduduki peperiksaan UEC iaitu Bahasa Melayu dan juga Sejarah, tetapi pegawai kementerian juga menekankan mereka hanya akan menerima slip sahaja dan bukan sijil SPM,” katanya.
Dalam pada itu, memorandum tersebut turut mendesak agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak tunduk kepada sebarang tekanan politik daripada mana-mana pihak dalam menentukan dasar pendidikan negara.
Sehubungan itu, beliau serta gabungan NGO yang lain menuntut agar kerajaan kekal mempertahankan Dasar Pendidikan Kebangsaan, menghentikan perbincangan pengiktirafan UEC serta mengutamakan integrasi nasional, bukan agenda perkauman. – KOSMO! ONLINE
The post Beri penjelasan dakwaan persetujuan terima UEC kolej swasta Cina appeared first on Kosmo Digital.