Auto Added by WPeMatico

KUALA LUMPUR – Flexidynamic Holdings Berhad (Flexidynamic) memeterai dua Perjanjian Jualan Saham (SSA) dengan HARPS Investment Asia Pte. Ltd. (HIA) dan dua pemegang saham minoriti untuk pemerolehan 100 peratus kepentingan ekuiti dalam Formtech Engineering (M) Sdn. Bhd. (Formtech), bekas pengeluar sarung tangan yang berpangkalan di Nilai, Negeri Sembilan.
Di bawah terma SSA, Flexidynamic akan memperoleh keseluruhan modal saham terbitan Formtech, yang terdiri daripada 8,300,000 saham biasa.
Pemerolehan itu merupakan sebahagian daripada pelan strategik Flexidynamic untuk meningkatkan keupayaan huluan dan mengembangkan jejaknya dalam rantaian bekalan pembuatan sarung tangan.
Timbalan Pengarah Urusan Flexidynamic, Ben Sin berkata, pemerolehan ini menandakan satu peristiwa penting dalam strategi jangka panjangnya untuk memperdalam integrasi dalam ekosistem pembuatan sarung tangan.
“Kami percaya kepakaran Formtech dan kehadiran yang mantap dalam pembuatan sarung tangan melengkapkan kekuatan kami yang sedia ada, dan kami teruja untuk meneroka potensi sinergi untuk Kumpulan.
“Kami mengalu-alukan Formtech dan pekerjanya yang berdedikasi ke dalam keluarga Flexidynamic, sambil meneruskan perjalanan pertumbuhan mampan bersama-sama,” katanya.
Ben Sin menambah, pihaknya melihat pemerolehan ini sebagai peluang strategik untuk mengukuhkan kedudukan huluannya dan memanfaatkan industri sarung tangan yang semakin pulih.
Langkah itu sejajar dengan visi Kumpulan untuk menyampaikan penyelesaian kejuruteraan dan pembuatan menyeluruh merentasi rantaian nilai pengeluaran sarung tangan.
Sebagai tambahan kepada pengembangan huluan, Flexidynamic juga merancang untuk melancarkan perkhidmatan pensterilan sinaran gamma melalui anak syarikat milik 51 peratusnya, Gammatech Sdn. Bhd.
Segmen baharu itu bersedia untuk memberi perkhidmatan bukan sahaja kepada pengeluar sarung tangan, tetapi juga sektor berpotensi tinggi seperti farmaseutikal, pemprosesan makanan dan pembungkusan. – KOSMO! ONLINE
The post Flexidynamic beli 100% kepentingan dalam Formtech appeared first on Kosmo Digital.