Auto Added by WPeMatico

KETUA jurulatih hoki lelaki kebangsaan, Sarjit Singh mengakui tahap kecergasan skuad Speedy Tigers masih belum setara dengan gergasi Asia lain seperti Korea Selatan, Jepun dan China, sekali gus menuntut usaha lebih tuntas bagi menyaingi mereka di pentas antarabangsa.
Meskipun prestasi anak-anak buahnya menunjukkan peningkatan dari satu perlawanan ke satu perlawanan, Sarjit menyifatkan mereka masih berada dalam fasa pembangunan dan jauh daripada tahap optimum yang diinginkan.
“Saya yakin kita berada di laluan yang betul. Seperti yang saya katakan, kita perlukan lebih banyak pengalaman. Pengalaman itu sangat penting,” katanya kepada media selepas tamat aksi menentang Jepun di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, malam kelmarin.
Speedy Tigers menewaskan Jepun 2-1 dalam aksi terakhir peringkat kumpulan, namun kemenangan itu tidak cukup untuk membawa Malaysia ke separuh akhir Piala Negara-Negara FIH 2025.
Menurut Sarjit, isu kecergasan pemain bukan baharu dan telah dikenal pasti sejak awal tahun ini, menyebabkan dia membawa pasukan ke Korea Selatan bagi memperkasa aspek ketahanan fizikal dan taktikal melalui siri perlawanan intensif.
Beliau turut menjelaskan fokus pasukan kini beralih kepada misi menamatkan kejohanan di tempat kelima, lebih baik berbanding kedudukan ketujuh pada edisi lalu di Poland.
“Kita kena cepat tukar fokus, lawan kita, Afrika Selatan, bukan mudah. Tapi, kalau tengok cara mereka main, saya percaya kita mampu menang,” ujarnya.
Dalam pada itu, pertahanan utama negara, Syed Mohd Syafiq Syed Cholan turut menegaskan kepentingan aksi penentuan tempat kelima demi memperbaiki kedudukan dalam ranking dunia.
“Kita nak ranking berada dalam kelompok 11 atau 12 terbaik. Sekarang ini kita di tangga ke-15. Kalau kalah, kita mungkin jatuh lagi. Sebab itu perlawanan menentang Afrika Selatan sangat penting. Kita kena menang untuk kutip mata dan naikkan semula kedudukan,” katanya.
The post Sasaran baharu Speedy Tigers selepas kecewa appeared first on Kosmo Digital.