Auto Added by WPeMatico

HULU SELANGOR – Seorang lelaki Orang Asli yang dilaporkan hilang semasa mandi di Sungai Cherandong dekat Kampung Orang Asli Buloh Telur, Kuala Kubu Baharu, kelmarin ditemukan lemas, hari ini.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ibrahim Husin berkata, mangsa ditemukan pada pukul 10.55 pagi kira-kira 300 meter jarak dari tempatnya lemas.
Beliau berkata, mangsa yang berusia 47 tahun itu dibawa ke Hospital Kuala Kubur Bharu sebelum disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital.
“Mayat mangsa dibawa ke unit forensik untuk menjalani proses bedah siasat. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, Ibrahim berkata operasi mencari dan menyelamat mangsa bermula pada pukul 10.15 pagi melibatkan seramai 55 anggota dan pegawai pihak bomba, Polis Diraja Malaysia, Majlis Perbandaran Hulu Selangor serta Jabatan Kemajuan Orang Asli.
Operasi pencarian kemudiannya ditamatkan dan pos kawalan hadapan ditutup sepenuhnya pada pukul 12.30 tengah hari.
Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki Orang Asli hilang semasa mandi bersama rakannya di Sungai Chendarong.
Siasatan awal mendapati mangsa yang sedang mandi ingin menaiki sebuah rakit yang dibawa oleh rakannya.
Mangsa dipercayai sempat memegang pada bahagian tepi rakit, namun tidak dapat dipastikan sama ada dia sempat menaikinya kerana kejadian berlaku di selekoh sungai. – KOSMO! ONLINE
The post Lelaki hilang di Sungai Cherandong dijumpai lemas appeared first on Kosmo Digital.