Auto Added by WPeMatico

PETALING JAYA – Tragedi menimpa pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir, terus mencetuskan
tanda tanya dan pelbagai spekulasi di media sosial meskipun siasatan rasmi masih berjalan.
Berdasarkan fakta kes pihak berkuasa, Zara dilaporkan jatuh dari tingkat tiga asrama Sekolah
Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, Sabah pada 16 Julai lalu.
Mangsa menghembuskan nafas terakhir sehari kemudian di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu
semasa menerima rawatan.
Ekoran itu, polis telah mengambil keterangan lebih 60 pelajar bagi membantu siasatan, manakala ibu
mangsa, Noraidah Lamat melalui peguamnya turut memohon inkues serta bedah siasat semula.
Peguam Negara kemudian mengesahkan proses penggalian semula kubur Zara dilakukan pada 9
Ogos untuk siasatan lanjut, manakala Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa kes itu disiasat dengan telus.
Bagaimanapun, spekulasi menjadi semakin hangat apabila rakaman audio berdurasi 44 saat didakwa membabitkan perbualan Zara dengan ibunya tersebar di media sosial.
Peguam keluarga, Hamid Ismail mengesahkan rakaman itu adalah tulen dan sudah diserahkan kepada
polis, namun menegaskan ia tidak boleh dijadikan asas menuduh sesiapa sebagai punca kematian.
Selain itu, beberapa teori dan spekulasi juga berlegar di media sosial termasuklah mengaitkan kematian pelajar itu dengan orang kenamaan Sabah termasuk keluarga Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman.
Menerusi hantaran tular tersebut, mereka mengaitkan bahawa salah seorang pelaku dalam kes
terbabit adalah cucu kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah dan anak kepada Menteri Sains, Teknologi
dan Inovasi Sabah, Datuk Dr. Mohd. Arifin Mohd Arif.
Namun, Mohd. Arifin sebelum ini pernah menafikan perkara itu dan menyatakan bahawa dia tiada
anak bernama Farisha seperti yang didakwa di media sosial. Nama tersebut didakwa adalah salah seorang pelaku dalam kes kematian Zara Qairina.
Kata beliau, anaknya juga tiada yang belajar di sekolah menengah berkenaan.
Perkara itu juga turut disahkan Noraidah bahawa dia tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan yang mengaitkan kematian anaknya dengan mana-mana individu berprofil tinggi atau kenamaan
(VVIP).
Peguam yang mewakili keluarga itu turut menegaskan bahawa dakwaan tersebut adalah tidak berasas dan tidak datang daripada anak guam mereka.
Malah, kata peguam itu lagi, anak guam mereka tidak mengeluarkan kenyataan bahawa terdapat tiga pelajar sekolah dipindahkan pada hari kematian Zara.
Tambahnya, kesemua maklumat itu hanya diketahui oleh anak guam selepas tular di media sosial.
Susulan kenyataan itu, Istana Seri Kinabalu juga menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu dan
menyifatkan sebagai tuduhan berunsur fitnah.
Menurut Istana Seri Kinabalu, tuduhan itu juga tidak berasas dan tidak bertanggungjawab yang
boleh mencemarkan nama baik keluarga Yang di-Pertua Negeri Sabah.
Turut menjadi spekulasi di media sosial adalah dakwaan seorang wanita yang menyatakan bahawa
Zara Qairina telah dimasukkan ke dalam mesin basuh sebelum ditemui meninggal dunia.
Kenyataan wanita itu kemudian telah dikongsi dan diulas semula oleh sejumlah pempengaruh di
media sosial masing-masing tanpa merujuk kepada sumber yang sahih dan hanya untuk meraih ‘like’
dan ‘view’ daripada netizen.
Hakikatnya, Hamid dan Shahlan Jufri iaitu peguam yang mewakili keluarga Zara Qairina mengesahkan perkara itu hanyalah spekulasi.
Kedua-dua peguam itu berkata, ibu Zara Qairina tidak pernah memberi maklumat sedemikian kepada
mana-mana pihak dan pada masa sama meminta wanita yang menularkan spekulasi itu menyalurkan
maklumat itu kepada pihak polis.
Lebih mendukacita juga, walaupun kes kematian Zara Qairina masih dalam siasatan pihak berkuasa, ada juga sebahagian ahli politik di pihak pembangkang ‘menunggang’ isu ini.
Mereka bukan sahaja menghentam kerajaan, tetapi turut mengaitkan kredibiliti pihak berkuasa
dalam menjalankan siasatan ke atas kes kematian Zara Qairina sematamata untuk membangkitkan kemarahan rakyat.
Walhal, mereka hanya menunggang isu terbabit untuk kepentingan politik masing-masing.
Walaupun pelbagai ‘plot twist’ terus bertebaran di TikTok dan platform lain, pihak berkuasa menegaskan hanya siasatan rasmi mampu merungkai punca sebenar kematian Zara Qairina tanpa menunding kesalahan kepada mana-mana pihak.
Sebagai rakyat Malaysia, kita serahkan perkara ini kepada pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Peguam Negara untuk menyiasat dan membawa kes ini ke muka
pengadilan.
Tidak usahlah kita menjadi ‘detektif’ dengan menyebarkan gambar serta maklumat palsu kerana
boleh mengganggu siasatan.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil sebelum ini pernah mengingatkan orang ramai supaya berhenti menyebarkan spekulasi tidak sahih termasuk kandungan yang berunsur fitnah dan berpotensi
menjejaskan emosi keluarga mangsa.
Jelas beliau, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia akan membuka kertas siasatan terhadap sebarang penyebaran kandungan palsu yang dikaitkan dengan isu 3R (kaum, agama dan institusi diraja).-KOSMO! ONLINE
The post Kematian Zara Qairina perlu bukti sahih, bukan spekulasi di media sosial appeared first on Kosmo Digital.