Auto Added by WPeMatico
Sanusi kesal UUM batal dewan graduasi SADA saat akhir

![]()
ALOR SETAR – Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor kesal dengan pihak pengurusan Universiti Utara Malaysia (UUM) yang didakwa membatalkan penggunaan dewan bagi Majlis Graduasi Syarikat Air Darul Aman (SADA) pada saat akhir.
Menurutnya, pihak tersebut memberi alasan pembatalan itu dibuat disebabkan kerja-kerja pengubahsuaian Dewan Mu’adzam Shah, namun beliau percaya ia berpunca daripada perbezaan fahaman politik.
“Sejak 2008 sampai 2025, ada beberapa peristiwa dengan UUM. Daripada isu tanah, air dan kali ini isu graduasi. Puncanya bukan apa, sebab saya parti lain sahaja.
“Saya tahulah UUM itu Universiti UMNO Malaysia. Kalau saya sebut, malu pada orang tetapi tak boleh hingga ke tahap itu,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Graduasi SADA 2025 di sebuah dewan di Titi Gajah, di sini semalam.
Beliau yang merupakan Pengerusi SADA berkata demikian selepas UUM didakwa membatalkan penggunaan dewan tersebut dua hari sebelum acara berlangsung.
Majlis itu diadakan bagi meraikan 315 warga SADA yang menamatkan program pengajian merangkumi Sijil Kemahiran Malaysia, Sijil Eksekutif Tahap 1 dan Tahap 2 serta Program Kepimpinan Strategik melalui kerjasama Pusat Pendidikan Profesional dan Lanjutan (PACE) UUM serta Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).
Muhammad Sanusi berkata, UUM yang berada di atas tanah seluas 1,000 hektar di Kedah seharusnya menjadi penyumbang kepada ketamadunan serta keterbukaan dan bukan bertindak mengikut sentimen politik.
“Kita bangga UUM ada di Kedah tetapi kita tidak suka dengan perangai seperti itu. Jangan berpolitik di universiti. Jika mahu berpolitik, bertanding dalam pilihan raya, turun lawan saya di Jeneri. Siapa pun boleh datang,” ujarnya.- KOSMO! ONLINE
The post Sanusi kesal UUM batal dewan graduasi SADA saat akhir appeared first on Kosmo Digital.