Auto Added by WPeMatico

PETALING JAYA – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menegaskan keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman daripada semua pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram perlu dihormati selaras prinsip rule of law dan keadilan.
Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, pembebasan tersebut berpunca daripada dapatan Mahkamah Rayuan mengenai salah arah serius pembelaan tertuduh dan kemungkinan keterangan saksi utama yang telah ditokok tambah di bawah tekanan.
“Satu proses keadilan yang wajar dihormati, namun ia perlu dijadikan pengajaran penting kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara agar siasatan dan pendakwaan dijalankan secara teliti, bebas serta tanpa campur tangan politik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
MCW juga menyambut baik kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM bahawa rayuan akan difailkan ke Mahkamah Persekutuan, sebagai bukti bahawa institusi kehakiman masih mempunyai ruang semakan dan pembetulan.
Namun begitu, MCW turut menggesa agar siasatan terhadap saksi utama dan pihak berkaitan dijalankan secara bebas dan menyeluruh sekiranya wujud unsur manipulasi atau penyalahgunaan kuasa.
Semalam, Kosmo! melaporkan ahli Parlimen Muar itu dilepas dan dibebaskan atas empat pertuduhan berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) di Mahkamah Rayuan.
Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim selepas membenarkan rayuan Syed Saddiq selaku perayu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta oleh Mahkamah Tinggi sebelum ini. – KOSMO! ONLINE
The post Bebas Syed Saddiq selaras prinsip ‘rule of law’ dan keadilan appeared first on Kosmo Digital.