Auto Added by WPeMatico

![]()
NOTTINGHAM – Manchester United dianggap bernasib baik apabila mencatat keputusan seri 2-2 ketika menentang Nottingham Forest pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di City Ground semalam.
Pemain sayap, Amad Diallo menjadi penyelamat pasukan apabila menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-81 bagi memadam gol Morgan Gibbs-White dan Nicolo Savona yang melakukan jaringan selepas gol pembukaan Casemiro.
Pengurus United, Ruben Amorim tanpa berselindung mengakui, keputusan seri sudah memadai buat pasukan itu kerana menganggap mereka mungkin pulang dengan kekalahan sekiranya ia berlangsung pada musim lalu.
“Saya percaya kami akan tewas sekiranya perlawanan hari ini berlangsung pada musim lalu. Mungkin mereka (Forest) akan memenangi perlawanan dengan jaringan lebih besar berbanding ini.
“Bagi saya, kami terleka dalam tempoh lima minit sahaja hari ini dan ia menghukum pasukan. Secara keseluruhan, kami bermain baik tetapi masih ada aspek yang perlu diperbaiki,” katanya.
Malangnya, keputusan seri itu menamatkan rentak cemerlang United yang sebelum ini menang tiga perlawanan berturut-turut.
Pada masa sama, beliau menyifatkan semangat juang barisan pemainnya lebih berbeza pada saingan musim ini apabila masih mampu untuk bangkit walaupun sudah kesuntukan masa bagi memburu gol penyamaan.
“Kalau dahulu, kami tidak mungkin boleh bangkit daripada ketinggalan dua gol dan akan kalah. Hari ini (kelmarin) lebih berbeza apabila pemain tidak mudah berputus asa memburu jaringan,” ujar Amorim. – AGENSI
The post Mujur Man. United tak kalah – Amorim appeared first on Kosmo Digital.