Auto Added by WPeMatico

![]()
LONDON – Pengurus Chelsea, Liam Rosenior memberikan pujian kepada pasukannya yang menunjukkan semangat luar biasa ketika mencipta kebangkitan untuk membenam West Ham United 2-0 di Stamford Bridge awal pagi semalam.
Ketinggalan dua gol menerusi Jarrod Bowen dan Crysencio Summerville sepanjang babak pertama, The Blues bangkit pada separuh masa kedua apabila meledak tiga gol hasil jaringan Marc Cucurella, Joao Pedro dan wira mereka, Enzo Fernandez yang menjaringkan gol kemenangan.
Perlawanan itu mencipta rekod buat Chelsea apabila ia merupakan kali pertama dalam era Liga Perdana Inggeris, mereka berjaya bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk meraih kemenangan.
“Apa yang saya belajar menerusi perlawanan kali ini adalah, semangat, sifat melawan dan kekuatan yang ada dalam kumpulan pemain ini. Saya benar-benar kagumi.
“Kami tidak banyak sesi latihan, tetapi kami sentiasa bercakap mengenai kemampuan untuk sentiasa melakar kejutan dalam setiap perlawanan. Hasil perbincangan itu anda dapat lihat pada babak kedua apabila para pemain benar-benar melakukannya,” katanya.
Ketika ketinggalan pada babak pertama, Rosenior membuat beberapa perubahan termasuk tiga pertukaran pada babak kedua yang menjadi punca kebangkitan Chelsea mendapatkan kemenangan pada perlawanan tersebut.
Kemenangan itu menyaksikan Rosenior menjadi pengendali berbangsa Inggeris keempat yang berjaya mengemudi pasukan meraih tiga kemenangan awal dalam saingan EPL, malah ia menjadi kemenangan keenam dalam tujuh aksi beliau sejak melengkapkan perpindahan dari Strasbourg. – AGENSI
The post EPL: Kebangkitan luar biasa Chelsea appeared first on Kosmo Digital.