Auto Added by WPeMatico

BARCELONA – Legenda Barcelona, Rivaldo memberi cabaran kepada bintang pinjaman kelab itu, Marcus Rashford supaya mencabar dirinya untuk segera menyesuaikan diri dengan bola sepak di luar England.
Ini kerana Rivaldo merasakan adalah normal untuk Rashford memulakan musim baharu nanti dari bangku simpanan memandangkan Barcelona adalah kelab dari luar England yang pertama diwakili pemain itu.
Bagaimanapun, bekas bintang skuad kebangsaan Brazil itu berharap semua pihak dapat memberikan masa kepada Rashford untuk segera menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu.
“Barcelona sudah mengharungi musim yang agak baik, jadi adalah normal jika Rashford memulakan perlawanan daripada bangku simpanan. Namun, saya percaya sedikit demi sedikit dia akan dapat atasi perkara itu.
“Dia pasti dapat memahami perkara yang dimahukan oleh pengurus pasukan, mempelajari dinamik dalam latihan dan menyesuaikan diri. Jadi, lama-kelamaan dia pasti akan mendapat tempat,” katanya.
Rashford sudah pun melakukan debut bersama Barcelona ketika menentang kelab Jepun, Vissel Kobe dan diberi peluang bermain 33 minit.
Rivaldo juga menjelaskan Rashford sudah pun memiliki segala-galanya untuk menjadi pemain terbaik bersama kelab diwakilinya terutamanya jika mendapat bantuan sewajarnya daripada orang sekeliling.
” Dia memiliki segala-galanya untuk menyerlahkan diri terutamanya apabila wujud jurulatih terbaik di sisinya dan semua itu akan membantunya terus berkembang lagi,” katanya. – AGENSI
The post Legenda Barcelona sokong Rashford appeared first on Kosmo Digital.