Auto Added by WPeMatico

![]()
JOHOR BAHRU – Gelombang bantahan rakyat Johor terhadap aktivis, Fahmi Reza terus meningkat apabila lebih 50 laporan polis dibuat di seluruh negeri ini berhubung isu penghinaan terhadap institusi Diraja Johor.
Difahamkan, laporan polis tersebut dibuat secara serentak dan berperingkat di pelbagai daerah sebagai tanda penolakan keras terhadap sebarang cubaan mencemar maruah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail serta institusi Diraja negeri ini.
Antara yang tampil membuat laporan polis ialah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan belia di peringkat negeri serta daerah, termasuk Majlis Belia Negeri Johor, Majlis Belia Daerah Johor Bahru, Majlis Gabungan Belia Mersing, Majlis Belia OKU Johor dan beberapa lagi pertubuhan belia.
Turut menyertai tindakan itu ialah Pergerakan Pemuda UMNO di beberapa bahagian termasuk Ayer Hitam, Simpang Renggam, Kluang, Pagoh, Mersing, Muar, Segamat dan Kulai.
Lebih membuktikan keseriusan isu berkenaan, lebih 20 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor dari pelbagai kawasan turut membuat laporan polis, antaranya DUN Rengit, Kota Iskandar, Kempas, Larkin, Yong Peng, Bekok dan Semerah.
ADUN Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad berkata, mereka sebulat suara menggesa pihak polis mengambil tindakan segera termasuk memadamkan hantaran Facebook terbabit bagi mengelakkan ia terus tersebar dan mencetuskan ketegangan dalam kalangan masyarakat.
Menurutnya, institusi raja merupakan tonggak Perlembagaan Persekutuan dan perlu dihormati oleh semua pihak tanpa mengira latar belakang atau pandangan politik.
“Perbuatan menghina raja bukan sahaja mencetuskan kemarahan rakyat, malah berpotensi mengundang isu sensitif melibatkan kaum, agama dan institusi diraja (3R) yang boleh menggugat keharmonian negara,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.-KOSMO! ONLINE
The post Lebih 50 laporan polis dibuat terhadap Fahmi Reza appeared first on Kosmo Digital.