Auto Added by WPeMatico

BALING – “Adik saya bukan kaki rempit seperti yang diperkatakan oleh natizen, tolong jangan aibkan arwah, lagipun arwah kakitangan kerajaan dan tidak akan buat perkara yang bukan-bukan seperti yang mereka tuduh itu.”
Demikian kata Rozaini Abu Aziz, 45, kakak kepada Roziman Abu Aziz, 36, yang meninggal dunia akibat kemalangan motosikal ketika dalam perjalanan ke Terengganu untuk menyertai perhimpunan RXZ.
Rozaini berkata, mereka amat tersinggung dengan tuduhan yang tidak berasas itu sedangkan adik bongsunya itu bersama 10 lagi saudaranya serta rakan sekampung hanya dalam keadaan bersantai ketika menunggang motosikal masing-masing.
“Adik sangat baik, sentiasa mendengar nasihat kami terutama nasihat ibu dan bapa kami, dia tidak pernah merempit, apatah lagi dia sebagai seorang penjawab awam seboleh mungkin tidak mahu melakukan apa-apa kesalahan di sisi undang-undang.
“Memang adik sangat teruja untuk menyertai perhimpunan itu, setiap tahun dia dan sepupu-sepupunya serta rakan-rakan rapatnya akan ke sana, namun apakan daya tahun ini takdir adik tidak begitu baik apabila dia terlibat dalam kemalangan jalanraya sehingga meragut nyawanya,” kata Rozaini ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang Che Mas, Dalam Wang, hari ini.
Menurutnya, adiknya itu sangat baik tingkah lakunya, dalam tempoh lima bulan ini dia mengambil tanggungjawab sepenuhnya menjaga bapa, Abu Aziz Che Ahmad, 72, yang uzur dan menjaga segala keperluan bapa setiap hari.
“Kami amat terkejut menerima berita kemalangan tersebut lebih kurang pukul sembilan pagi semalam dan tidak menyangka kemalangan itu telah meragut nyawanya,” kata Rozaini.
Katanya lagi, Roziman mengalami pendarahan dalaman, tulang rusuk kanan yang patah telah menikam hati dan paru-parunya, sebelum ini beberapa tahun lalu dia juga pernah kemalangan dan mengalami kecederaan juga di bahagian hatinya.
Sepupu, Mohamad Fakrulrazi Abu Hassan, 21, berkata, mereka 11 orang yang terdiri daripada adik beradik dan rakan sekampung bergerak dari Baling sekitar pukul 7 pagi dalam keadaan santai dengan kelajuan hanya 60-70 kilometer sejam sahaja.
“Namun nasib Roziman kurang baik apabila ketika kami tiba di selekoh, tayar motosikalnya seperti licin terkena minyak di atas jalan tersebut lalu terjatuh dan pada masa yang sama sebuah lori dari arah hadapan datang sebelum berlanggar.
“Waktu kejadian itu saya berada di belakang motosikalnya, setiap tahun kami pergi ke Himpunan RXZ, Roziman merasa amat gembira kerana sekali lagi berpeluang menyertainya dengan membawa motosikal RXZ baharunya pemberian daripada kakaknya,” katanya.
Jenazah arwah disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang Che Mas, di sini selepas solat isyak, semalam.
Terdahulu, akhbar Kosmo! melaporkan seorang peserta RZX Members 7.0 maut maut dalam kemalangan membabitkan sebuah treler di Kilometer 45, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli kira-kira pukul sembilan pagi semalam. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Tolong jangan aibkan arwah, dia bukan kaki rempit’ appeared first on Kosmo Digital.