Auto Added by WPeMatico

MELAKA – Lebih 200 bekas ahli Global Ikhwan Sdn. Bhd. Holdings (GISBH) di negeri ini akan menjalani program rehabilitasi seminggu sekali dalam tempoh sembilan bulan bermula September ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, program itu meliputi pemulihan akidah dan kelangsungan hidup yang akan dipantau oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Katanya, sesi rehabilitasi itu akan diadakan di beberapa lokasi bersesuaian termasuk di masjid dan sekolah rendah agama Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).
“Setakat ini kita menerima kerjasama yang sangat baik daripada golongan tersebut berkaitan bantuan pemulihan dan mereka mahukan program (rehabilitasi) ini.
“Selain pemulihan akidah, isu lain adalah kelangsungan hidup kerana mereka sebelum ini ada pekerjaan tetapi sekarang terpaksa berusaha sendiri dan kita mahu bantu mereka ini kembali pada kehidupan normal,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis makan malam bersama bekas ahli GISB di sebuah hotel di Ayer Keroh, malam tadi.
Mengulas lanjut mengenai majlis tersebut, beliau memberitahu ia diadakan bagi mengumpul data sebenar jumlah bekas ahli GISB di negeri ini.
“Seramai 273 individu termasuk 51 buah keluarga telah hadir pada majlis makan malam ini dan data mereka telah direkodkan, sebelum ini kita tidak mempunyai data yang jelas termasuklah jumlah kanak-kanak.
“Difahamkan mereka ini lebih 300 orang tetapi hanya 70 peratus hadir malam tadi, manakala 20 peratus tidak dapat hadir atas pelbagai sebab dan baki ini kita akan usaha dapatkan,” katanya kepada pemberita di sini, malam tadi.
Tambahnya, pada majlis itu, pelbagai kaunter informasi disediakan bagi memberi pendedahan kepada bekas ahli GISBH termasuk maklumat berkenaan taraf perkahwinan, status anak-anak dan pendidikan mereka. – KOSMO! ONLINE
The post Lebih 200 bekas ahli GISB jalani rehabilitasi sembilan bulan appeared first on Kosmo Digital.