Auto Added by WPeMatico

![]()
PETALING JAYA – Pengguna transit aliran ringan (LRT) laluan Kelana Jaya sekali lagi berdepan perjalanan mencabar pagi ini apabila beberapa stesen dilaporkan sesak dengan penumpang, selain perkhidmatan tren didakwa bergerak perlahan.
Situasi itu dikongsikan beberapa pengguna pengangkutan awam di media sosial yang memaparkan keadaan platform dipenuhi penumpang yang sedang menunggu tren.
Seorang pengguna Threads dikenali @nibukanyon berkata masalah perkhidmatan itu berlarutan sejak semalam, selain menasihatkan orang ramai yang belum keluar rumah supaya mempertimbangkan untuk melewatkan perjalanan.
“Siapa baru nak gerak pergi stesen LRT, lepak dulu dekat rumah kot. LRT rosak dari semalam tak selesai lagi. Kekerapan perlahan, stesen penuh gila. Aku dah pasrah dah dekat sini,” tulisnya.
Seorang lagi pengguna dikenali @addazwan mendakwa tren dinaikinya beberapa kali melakukan brek mengejut selain tidak berhenti di Stesen Asia Jaya dan Taman Jaya sebelum penumpang diminta turun di Stesen Kerinchi.
Dalam pada itu, seorang pengguna lain meluahkan rasa kecewa apabila mendakwa tren berhenti hampir tujuh hingga lapan minit di beberapa stesen sehingga menyebabkan perjalanan ke tempat kerja terganggu.
Menurut @jazz_sidhu1 keadaan tren yang terlalu padat turut menyebabkan penumpang yang menunggu di sesetengah stesen sukar untuk menaiki tren.
“Berhenti di hampir setiap stesen selama tujuh hingga lapan minit memang tidak masuk akal dan tren terlalu sesak sehingga orang yang menunggu di stesen pun tidak dapat naik. Tren sekarang menyebabkan kelewatan dan orang ramai lambat ke tempat kerja. Keadaan ini memang sangat mengecewakan,” katanya.
Sementara itu, Rapid KL menerusi kenyataan pagi ini memaklumkan Stesen Pasar Seni di Laluan Kelana Jaya sedang mengalami peningkatan jumlah penumpang sehingga menyebabkan kesesakan.
Menurut Rapid KL, langkah kawalan penumpang turut dilaksanakan bagi memastikan keselamatan dan kelancaran pergerakan pengguna.
“Sehubungan itu, bagi memastikan keselamatan serta kelancaran pergerakan penumpang, kawalan kemasukan dan aliran penumpang sedang dilaksanakan di stesen-stesen terlibat,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post LRT laluan Kelana Jaya sesak lagi pagi ini appeared first on Kosmo Digital.
