Auto Added by WPeMatico

PETALING JAYA – Polis akan memanggil tiga rakan rapat kepada pelakon sensasi, Sophia Albarakbah bagi membantu siasatan berhubung laporan artis itu yang mendakwa menjadi mangsa buli siber dan gangguan seksual.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, setakat ini pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut.
“Tiada sebarang tangkapan dilakukan dan keterangan daripada pelakon terbabit telah direkodkan. Tiga saksi yang juga rakan Sophia akan dipanggil dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Kosmo! pada Sabtu lalu melaporkan Sophia hadir membuat laporan polis di Balai Polis Travers selepas menerima kecaman melampau termasuk ugutan berunsur seksual di media sosial.
Serangan netizen terhadap bintang drama popular itu dikatakan semakin menjadi-jadi selepas dia memenangi trofi Selebriti Feminin Terhangat pada sebuah majlis anugerah baru-baru ini.
Menurut peguamnya, Aizat Azam, komen keterlaluan yang diterima anak guamnya bukan sahaja berbentuk penghinaan, malah turut mengandungi ugutan seksual secara terbuka sehingga menjejaskan kesihatan mentalnya.
Kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – KOSMO! ONLINE
The post Polis bakal panggil tiga rakan rapat Sophia Albarakbah bantu siasatan appeared first on Kosmo Digital.