Auto Added by WPeMatico

MELAKA – Daripada memacu ekonomi negeri, memperkukuh sektor gastropelancongan, hinggalah mengubah kehidupan seharian rakyat, Grab Malaysia kini menjadi lebih daripada sekadar platform digital.
Di Melaka sahaja, rakan peniaga tempatan Grab secara kolektif meraih hampir RM140 juta melalui platform Grab sepanjang tahun lalu, membuktikan bagaimana teknologi dan inovasi yang mudah digunakan mampu memperkasa komuniti sambil menonjolkan kekayaan warisan budaya dan kulinari di negeri ini.
Pengarah Komersial dan Penghantaran, Grab Malaysia, Tan Jiong Jian berkata, di Grab, misi mereka ialah untuk memperkasa perniagaan tempatan dengan alatan, pengetahuan dan juga akses kewangan yang diperlukan untuk terus berkembang maju dalam ekonomi digital masa kini.
“Pencapaian rakan peniaga kami di Melaka membuktikan bagaimana teknologi mampu membuka peluang sebenar dengan meningkatkan pendapatan, meningkatkan capaian pengguna bagi PMKS tempatan, serta menyokong daya tahan ekonomi jangka panjang negeri ini, ” katanya.
Dalam usaha memacu pertumbuhan dan menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), Grab baru-baru ini memperkenalkan Merchant AI Assistant, satu ciri inovatif yang diintegrasikan ke dalam aplikasi GrabMerchant.
Alat yang dikuasakan AI ini membantu pemilik perniagaan mengurus operasi dengan lebih cekap melalui akses pantas kepada data prestasi, penjanaan laporan, serta saranan yang dikhususkan bagi meningkatkan jualan dan penglibatan pelanggan.
Dengan memperkemas tugasan harian seperti membalas ulasan pelanggan dan mengoptimumkan promosi, alat ini membolehkan peniaga menumpukan perhatian kepada usaha mengembangkan perniagaan mereka.

Ciri inovatif ini melengkapi alat sedia ada Grab seperti Grab Dine Out Discovery serta inisiatif latihan seperti GrabMasterclass, semuanya di rekacipta untuk menarik lebih ramai pelanggan dan membekalkan pemilik perniagaan dengan strategi praktikal bagi mencapai kejayaan jangka panjang.
Di samping itu, disokong penawaran terbaharu GX Biz Banking oleh anak syarikat Grab, GXBank, rakan peniaga Grab kini mempunyai akses yang lebih mudah kepada penyelesaian kewangan inklusif bagi membantu mereka mengembangkan operasi dan mengemudi cabaran dalam pasaran yang kompetitif.
Malah GX Biz Banking ialah penyelesaian kewangan digital sepenuhnya yang direka cipta untuk memudahkan urusan operasi dan mempercepatkan pertumbuhan perniagaan.
Ia menawarkan pengalaman lancar melalui dua produk utama dimana GX Biz Account, yang boleh dibuka dalam beberapa minit tanpa sebarang yuran dan menawarkan pulangan faedah harian sebanyak 1 peratus setahun, dan GX Biz FlexiLoan, yang menyediakan akses pantas kepada modal tanpa caj tersembunyi dan penjimatan faedah melalui pembayaran balik awal.
Gabungan kepantasan, ketelusan dan manfaat penjimatan kos ini menjadikannya alat yang berkuasa, khususnya untuk rakan peniaga kecil Grab.
Di antara rakan peniaga Grab yang memperoleh manfaat daripada platform ini ialah Ted Coffee, sebuah kafe kejiranan kecil di Taman Paya Rumput, Melaka.
Pemilik kafe, Marlina Mahmud berkata, melalui pelbagai alat digital, kempen dan sesi latihan yang disediakan Grab, perniagaannya telah berjaya memperluas capaian dan menggandakan jualan bulanan.
“Dengan memanfaatkan ciri GrabFood seperti HotDeals dan Kombo Jimat, kami berjaya menarik pelanggan baharu serta membina kumpulan pelanggan setia yang membuat pesanan berulang.
“Platform digital sangat membantu perniagaan kecil seperti kami untuk berkembang secara mampan,” jelasnya.
Selain Ted Coffee, Nasi Ayam Kampung Padang turut menjadi contoh kejayaan perniagaan tempatan yang berkembang melalui ekosistem digital Grab.
Sejak menyertai Grab pada tahun 2023, restoran ini telah memperoleh penarafan 4.8 bintang dan menjadi peniaga Grab Signature berikutan pertumbuhan perniagaan yang berterusan melalui kempen seperti HotDeals.
Pemilik perniagaan, Rahilah Mohd Fauzi berkata, sejak daripada permulaan perniagaan mereka sebagai gerai jalanan sehinggalah menjadi pilihan utama di kawasan kejiranan, fokus mereka sentiasa mudah iaitu nasi ayam yang enak, hidangan yang berpatutan, serta perkhidmatan yang pantas dan mesra.
“GrabFood membantu kami menjangkau lebih ramai pelanggan, manakala HotDeals mempertingkatkan keterlihatan dan kadar penarikan pelanggan baharu,” katanya.
Dalam tempoh enam bulan selepas mengaktifkan kempen GrabFood, jualan bulanan meningkat daripada RM6,000 kepada RM15,000, peningkatan sebanyak 150 peratus.
Melangkaui usaha memperkembangkan perniagaan, Grab turut membantu memperkukuh profil Melaka sebagai destinasi budaya dan kulinari.
Dengan tumpuan yang semakin meningkat terhadap gastro pelancongan, platform ini menghubungkan pengunjung kepada pengalaman makanan tempatan yang autentik, daripada gerai jalanan tersembunyi hinggalah ke restoran warisan.
Melalui kerjasama dengan Tourism Malaysia, Grab menonjolkan permata kulinari ini dan menjadikannya lebih mudah diakses oleh pengunjung, sekali gus memastikan makanan kekal sebagai nadi utama tarikan Melaka.
Mengulas lanjut, Jiong Jian berkata, Melaka bukan sahaja menjadi pusat tumpuan perniagaan yang rancak tetapi juga kaya dengan warisan budaya dan kulinari.
“Melalui platform Grab, kami berhasrat untuk menjadikan pengalaman ini lebih mudah diakses oleh penduduk tempatan serta para pengunjung.
“Dengan menghubungkan orang ramai kepada makanan autentik dan tarikan unik, kami berbangga dapat memainkan peranan dalam memperkukuh kedudukan Melaka sebagai destinasi yang mesti dikunjungi,” ujarnya.
Ketika Melaka meneruskan transformasinya menjadi negeri yang maju dari segi digital sambil mengekalkan keindahan sejarahnya, Grab kekal komited untuk memperkasa para peniaga, mempertingkat kesejahteraan komuniti, dan memperkayakan pengalaman bagi penduduk serta pengunjung.
Dengan inovasi sebagai teras, Grab bukan sahaja memacu pertumbuhan perniagaan tetapi turut membantu membentuk ekonomi yang makmur dan inklusif untuk masa hadapan. – KOSMO! ONLINE
The post Rakan peniaga Grab di Melaka raih lebih RM135 juta pada 2024 appeared first on Kosmo Digital.