Auto Added by WPeMatico

KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang lelaki tempatan kerana disyaki memuat naik video berunsur hasutan dan menghina Yang di-Pertuan Agong serta Raja-Raja Melayu di aplikasi TikTok.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, siasatan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian D5, berhubung penularan video melalui akaun TikTok @muhammad.bin.abdu969.
“Semakan lanjut mendapati suspek berusia 41 tahun yang ditahan mempunyai satu rekod kesalahan lampau berkaitan narkotik dan tiga kes jenayah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Kumar berkata, pihak polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang menyalahgunakan media sosial untuk menyebarkan kenyataan berunsur hasutan, mengaibkan atau provokasi sehingga menggugat ketenteraman awam serta keselamatan negara.
“Orang ramai dinasihatkan agar lebih bertanggungjawab menggunakan media sosial serta sentiasa menghormati undang-undang,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post Lelaki ditahan muat naik video hina Agong, Raja-Raja Melayu di TikTok appeared first on Kosmo Digital.