Auto Added by WPeMatico

PETALING JAYA – Seorang sukarelawan, Rahmat Ikhsan yang juga pendakwah muda kini berada di perairan Itali bersama delegasi Sumud Nusantara dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza.
Beliau berkata, armada tanpa senjata itu kini semakin hampir menuju ke titik pertemuan utama.
“Sekarang berada di belakang saya adalah beberapa kapal-kapal sumud flotilla yang akan memecahkan kepungan.
“Kapal saya dihampiri dengan 10 lagi kapal. Menurut maklumat yang diberikan oleh GSF, sebanyak 40 kapal sedang berlayar memecahkan kepungan Israel terhadap Palestin.
“Insya-Allah ini hari kedua kami berada di perairan Itali. Kita akan bertemu di suatu titik temu bersama dengan tiga ketumbukan utama iaitu daripada Greece, Itali dan Tunisia.
“Saya bersama rakan-rakan lain iaitu Zizi Kirana, Ardell, Ariana dan Musa Nuwayri berada dalam ketumbukan Tunisia. Namun, kami pada awalnya bergerak dari Sepanyol sebelum berkumpul di Tunisia dan kini menuju ke pertemuan tiga ketumbukan ini,” katanya menerusi video di Facebook.
Menurut Rahmat, gabungan armada berkenaan akan menjadi simbol kekuatan kemanusiaan dunia untuk memecahkan kepungan rejim Zionis di Gaza.
“Armada ini adalah armada tanpa senjata, armada kemanusiaan. Terus doakan supaya angin, laut dan cuaca menjadi pembantu-pembantu GSF,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post [VIDEO] Sumud Flotilla: ‘Doakan angin, laut dan cuaca jadi pembantu’ appeared first on Kosmo Digital.