Auto Added by WPeMatico

KAJANG – Siasatan kes melibatkan kematian seorang lelaki warga asing dipercayai suspek cubaan ragut yang dipukul orang awam hingga maut telah dilengkapkan dan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya, semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, arahan telah dikeluarkan agar kesemua lapan lelaki tempatan berusia antara 22 hingga 72 tahun yang sebelum ini ditahan reman, dibebaskan sementara dengan jaminan polis.
Katanya, pembebasan sementara itu dibuat sementara menunggu laporan penuh bedah siasat dan analisis makmal daripada Jabatan Kimia yang akan menentukan punca sebenar kematian suspek.
“Siasatan kes telah dilengkapkan dan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya semalam.
“Kesemua tangkapan masih dibawah tahanan reman sehingga esok,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan, tindakan seorang lelaki cuba meragut berakhir tragedi apabila dipukul sekumpulan individu sehingga maut dalam kejadian di sebuah taman perumahan berhampiran Batu 9 Cheras, di sini, 22 Julai lalu.
Naazron berkata, pihaknya menerima satu maklumat awal kira-kira pukul 11.10 pagi melalui panggilan kecemasan berkaitan kes ragut.
Ujarnya, suspek dipercayai cuba meragut seorang wanita berusia 36 yang bekerja sebagai guru tadika di kawasan perumahan tersebut sebelum ditahan oleh orang awam.
Suspek didapati terbaring dalam keadaan cedera tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Jelasnya, kesemua individu yang ditangkap dibenarkan reman selama enam hari bermula 23 Julai hingga Isnin lalu.
Katanya, kes disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE
The post Pukul peragut hingga maut: Kes dirujuk Timbalan Pendakwa Raya appeared first on Kosmo Digital.