Auto Added by WPeMatico

PETALING JAYA – Universiti Malaya (UM) terus mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa apabila berjaya melonjak ke tangga ke-58 dunia dalam QS World University Rankings 2026, sekali gus meletakkannya dalam 10 universiti terbaik di Asia Tenggara.
Pencapaian bersejarah itu dianggap sebagai bukti komitmen tidak berbelah bahagi warga kampus dalam memacu kecemerlangan akademik, penyelidikan dan pembangunan intelektual, selain memperkukuh impak positif kepada negara.
Naib Canselor UM, Prof. Datuk Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman berkata, kejayaan tersebut adalah hasil usaha gigih dan pengorbanan semua pihak di universiti, daripada pensyarah, penyelidik, kakitangan pentadbiran serta para pelajar.
“Pencapaian ini adalah kebanggaan besar buat negara. Ia tidak akan dicapai tanpa kerja keras dan sokongan berterusan seluruh komuniti kampus. Pelbagai reformasi strategik yang kami laksanakan sejak tahun lalu kini mula membuahkan hasil,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau berkata, struktur tadbir urus universiti juga telah ditambah baik dan disusun semula selaras dengan visi dan hala tuju Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menggesa perubahan menyeluruh berasaskan nilai daya saing, integriti, kecekapan dan keadilan.
Tambah Noor Azuan, kejayaan UM itu turut dipacu oleh sinergi strategik dalam pembangunan modal insan, kemajuan teknologi, digital serta infrastruktur kampus yang mampan.
“UM semakin menonjol di pentas antarabangsa melalui pemantapan jaringan global, penawaran program pasca kedoktoran serta penyertaan bakat-bakat terbaik dari seluruh dunia yang menyertai perjalanan perubahan universiti ini,” katanya.
Sebagai universiti tertua di Malaysia, UM kini berada sebaris dengan institusi elit dunia dalam pelbagai indikator penarafan utama.
Ia turut memperkukuh kerjasama strategik bersama universiti terkemuka dari negara-negara utama seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, China, Jepun dan Korea Selatan.
Dalam masa yang sama, universiti tersebut akan terus mengenal pasti ruang penambahbaikan bagi memastikan kawalan kualiti dan standard sentiasa terpelihara.
“Sebagai universiti utama negara, kami tetap memainkan peranan dalam mencipta penyelesaian terhadap cabaran global dan membentuk graduan holistik sebagai harapan masa depan negara dan dunia,” ujarnya.
Menurutnya, UM turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan seluruh warga Kementerian atas sokongan berterusan terhadap pembangunan universiti.
Ucapan penghargaan tertinggi turut dizahirkan kepada Tuanku Canselor UM, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, atas kebijaksanaan dan sokongan berterusan Baginda terhadap hala tuju institusi itu.
“UM tidak akan berhenti di sini. Kami akan terus melangkah ke hadapan dalam misi membina masa depan yang lebih gemilang buat generasi akan datang,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Kejayaan ini milik kita bersama’ – Naib Canselor UM appeared first on Kosmo Digital.